Accessibility Tools

Skip to main content

MGNK terima sampel mineral dari dalam dan luar negara

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 47

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Makmal Geokimia Negeri Kelantan (MGNK) kini menerima sampel mineral bukan sahaja dari Kelantan dan negeri-negeri lain di Semenanjung, malah dari luar negara, menunjukkan permintaan tinggi terhadap keupayaan analisis makmal berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, berdasarkan maklumat daripada pegawai bertanggungjawab, makmal berkenaan ketika ini menerima jumlah sampel yang tinggi  sehingga melebihi kapasiti semasa makmal.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil mengenai manfaat kewujudan MGNK kepada negeri dan orang ramai pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperkasa MGNK sebagai pusat analisis mineral negeri bagi menyokong pembangunan industri mineral, khususnya unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE), termasuk melalui perkhidmatan analisis, sokongan penyelidikan dan pembangunan, pengesahan data mineral serta bantuan kepada aktiviti eksplorasi.

Dalam perkembangan penting, katanya, MGNK kini berada pada peringkat akhir proses mendapatkan pensijilan International Organization for Standardization (ISO) bagi memperkukuh keupayaan dan pengiktirafan rasmi makmal berkenaan.

“Makmal ini sedang dalam proses akhir untuk mendapat persijilan piawaian ISO. Usaha ini digerakkan secara berfokus oleh satu pasukan khas makmal di bawah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan yang dianggotai oleh 15 orang tenaga kerja tempatan,” katanya.

Menurutnya, sasaran memperoleh pengiktirafan ISO adalah selewat-lewatnya pada pertengahan 2027, dengan sasaran awal pada akhir 2026.

Pada masa sama, Timbalan Menteri Besar memaklumkan MGNK telah mempunyai kepakaran bertauliah terdiri daripada tiga pegawai perlindungan sinaran (Radiation Protection Officer), dua ahli kimia bertauliah (Registered Chemist) dan seorang jurutera profesional (Professional Engineer) bagi menyokong pengoperasian makmal.

Beliau berkata, sekiranya kapasiti makmal terus diperluaskan pada masa hadapan, lebih ramai tenaga pakar tempatan berpotensi dimanfaatkan dalam bidang berkaitan industri mineral.

Menurutnya, pemerkasaan MGNK amat penting bagi membina keupayaan teknikal negeri dalam menyokong aktiviti eksplorasi serta pembangunan industri mineral, khususnya NREE yang dilihat mempunyai prospek penting pada masa hadapan.

Pautan berjaya disalin!