Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan ungguli pengeluaran madu kelulut negara

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 42

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Kelantan kini berada di kedudukan pertama negara dalam pengeluaran madu kelulut dengan jumlah pengeluaran sebanyak 297.6 tan, mengatasi Johor dan Pulau Pinang.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, berdasarkan data Jabatan Pertanian, pencapaian tersebut turut direkodkan dengan produktiviti sebanyak 2.29 metrik tan sehektar, sekali gus menunjukkan asas pengeluaran industri madu kelulut di Kelantan yang kukuh.

Menurutnya, madu kelulut turut dikenal pasti sebagai salah satu kluster komuniti pertanian negeri, sekali gus menjadi antara sektor yang mempunyai potensi untuk terus dibangunkan.

“Industri madu kelulut Kelantan menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan kini berada di kedudukan pertama negara dalam pengeluaran madu kelulut,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, fokus kerajaan negeri kini bukan sekadar meningkatkan jumlah pengeluaran, sebaliknya memastikan madu kelulut Kelantan mempunyai kualiti, standard dan nilai pasaran yang lebih tinggi.

Dalam aspek kualiti dan piawaian, katanya, Jabatan Pertanian menggalakkan pengusaha melaksanakan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) bagi memastikan amalan penternakan dan pengeluaran madu dilaksanakan secara baik, bersih, selamat dan berkualiti.

Pada masa sama, katanya, Jabatan Pertanian turut menyediakan khidmat pengembangan, latihan penternakan dan pemprosesan madu, serta penerangan berkaitan pensijilan.

“Kerajaan turut menyediakan bajet khas RM90,000 bagi projek pembangunan industri apiculture dan pemprosesan madu berkualiti yang meliputi pembangunan infrastruktur, input serta mesin dan peralatan bagi aktiviti huluan dan hiliran,” katanya.

Selain itu, menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Kelantan Biotech Corporation Berhad (KBC) bersama Jabatan Pertanian sedang memperkukuh ekosistem industri menerusi Pelan Strategik Hala Tuju Kelulut Kelantan.

Usaha berkenaan turut merangkumi pengoperasian MIKDAM, Makmal Inovasi Kelulut Darul Naim di Pasir Puteh, sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan madu serta perkhidmatan bimbingan bagi membantu pengusaha mencapai kandungan air di bawah 20 peratus dan memenuhi piawaian ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut menyasarkan pembangunan sebuah lagi hab pemprosesan atau MIKDAM di Kawasan Pasir Mas bagi memperluas kemudahan pemprosesan kepada lebih ramai pengusaha.

Menurutnya, usaha pembangunan industri tersebut akan diperkukuh melalui pembangunan produk hiliran, pensijilan halal, pembungkusan, penjenamaan dan peluasan pasaran supaya pengusaha Kelantan memperoleh nilai komersial lebih tinggi daripada hasil madu yang dihasilkan.

“Kelantan yang kini berada di kedudukan nombor satu negara dalam pengeluaran madu kelulut, cabaran kita sekarang ialah memastikan Kelantan juga ke hadapan dari segi kualiti, pemprosesan, produk hiliran dan pasaran,” katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Kelantan sebagai lembah kelulut negara, selain memperkukuh lagi kedudukan negeri dalam industri berkenaan.

Pautan berjaya disalin!