Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan peruntuk RM90,000 tingkatkan kualiti pengeluaran madu kelulut

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 49

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan peningkatan standard dan kualiti madu kelulut bagi memastikan produk berkenaan mempunyai nilai komersial lebih tinggi serta memenuhi keperluan pasaran.

Justeru Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM90,000 bagi projek pembangunan industri apikultur dan pemprosesan madu berkualiti, meliputi pembangunan infrastruktur, input serta mesin dan peralatan bagi aktiviti huluan dan hiliran.

“Fokus kerajaan negeri sekarang bukan sekadar meningkatkan jumlah pengeluaran, tetapi memastikan madu kelulut Kelantan mempunyai kualiti, standard dan nilai pasaran yang lebih tinggi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah, YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Pertanian juga menggalakkan pengusaha melaksanakan pensijilan myGAP.AM (Pemeliharaan Lebah dan Kelulut), selain menyediakan khidmat pengembangan, latihan penternakan dan pemprosesan madu serta penerangan berkaitan pensijilan.

Menurut beliau, usaha tersebut turut diperkukuh melalui pelan strategik hala tuju kelulut Kelantan oleh Kelantan Biotech Corporation Berhad (KBC) bersama Jabatan Pertanian, termasuk pengoperasian MIKDAM, Makmal Inovasi Kelulut Darul Naim di Pasir Puteh sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan madu.

Jelasnya, pengusaha turut dibimbing bagi mencapai kandungan air di bawah 20 peratus dan memenuhi piawaian ditetapkan, di samping memperkukuh produk hiliran, pensijilan halal, pembungkusan, penjenamaan dan peluasan pasaran.

“Usaha ini akan diperkukuhkan melalui pembangunan produk hiliran, pensijilan halal, pembungkusan, penjenamaan serta peluasan pasaran supaya pengusaha Kelantan dapat memperoleh nilai komersial yang lebih tinggi daripada madu yang dihasilkan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!