Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan wujudkan 20 lokaliti K-MINDSET perkasa saringan kesihatan mental – YB Hilmi

  • 13 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 47

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Sebanyak 20 lokaliti Program Komuniti Minda Sejahtera (K-MINDSET) diwujudkan di seluruh Kelantan bagi memperkasa usaha saringan awal serta intervensi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, setiap daripada 10 daerah di negeri ini mempunyai dua lokaliti K-MINDSET dengan penglibatan 164 sukarelawan.

“Sehingga ini, semua daerah telah mempunyai Lokaliti K-MINDSET, masing-masing dua lokaliti di setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Lama YB Dr Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Beliau berkata, dapatan saringan kesihatan mental negeri Kelantan bagi tahun 2025 menunjukkan golongan remaja berumur 13 hingga 19 tahun mencatatkan peratusan yang tinggi bagi gejala kemurungan sederhana hingga teruk berdasarkan skor PHQ-9 10 ke atas, iaitu sebanyak 29.5 peratus.

“Manakala golongan dewasa awal berumur 20 hingga 39 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi gejala kebimbangan sederhana hingga teruk berdasarkan skor GAD-7 10 ke atas, iaitu sebanyak 47.0 peratus.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa golongan muda merupakan antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus melalui pendekatan promosi, pengesanan awal, intervensi awal dan sokongan psikososial yang berterusan,” katanya.

Menurutnya, tujuh pendekatan intervensi awal, kaunseling komuniti dan sokongan psikososial sedang dilaksanakan di negeri ini, antaranya Program Komuniti Minda Sejahtera (K-MINDSET), Latihan Pencegahan Bunuh Diri (MySAVE) serta Program Pemantapan MySAVE dan K-MINDSET kepada sukarelawan.

Selain itu, katanya, usaha turut merangkumi Simposium Kesihatan Mental, penyediaan perkhidmatan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) kepada mangsa krisis dan bencana, Program Psychosocial Rehabilitation (PSR) serta rehabilitasi mental MENTARI.

“Pelaksanaan inisiatif pencegahan bunuh diri melalui kerjasama pelbagai agensi juga terus diperkasakan,” ujarnya.

Beliau berkata, aktiviti promosi, saringan kesihatan mental dan pendidikan kesihatan turut dipergiatkan di institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti bagi meningkatkan literasi kesihatan mental serta menggalakkan individu mendapatkan bantuan pada peringkat awal.

Katanya, modul khas kesihatan mental remaja dan belia turut dibangunkan menggunakan pendekatan interaktif seperti gamifikasi bagi menarik perhatian golongan sasar.

“Bagi memudahkan masyarakat mendapatkan saringan awal, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut menyediakan platform saringan Minda Sihat secara atas talian yang membolehkan orang ramai menjalani saringan kendiri, memperoleh keputusan secara segera serta mendapatkan maklumat saluran bantuan dan rujukan seperti Talian HEAL dan klinik kesihatan berhampiran,”jelasnya.

Dalam pada itu, YB Hilmi berkata, sebanyak 15 Talian Psikososial khas MHPSS Negeri Kelantan turut disediakan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan sokongan psikologi, nasihat dan bantuan awal dengan lebih cepat.

“Talian ini beroperasi pada Ahad hingga Rabu, jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala Khamis dari jam 8.00 pagi hingga 3.30 petang dan tidak beroperasi pada Jumaat, Sabtu serta cuti umum.

“Panggilan diterima melalui panggilan terus, panggilan WhatsApp dan juga panggilan video WhatsApp,” katanya.

Pautan berjaya disalin!