Accessibility Tools

Skip to main content

DPRK selaras keperluan IR4.0, perkasa STEM dan inovasi

  • 13 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 37

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) diselaraskan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menerusi penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta pembentukan insan rabbani yang celik teknologi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelaksanaan DPRK di Yayasan Islam Kelantan (YIK) dilaksanakan menerusi pendekatan kurikulum serampang dua mata, dengan pencapaian pelajar dalam bidang STEM dan inovasi membuktikan keserasian dasar berkenaan dengan tuntutan IR4.0.

Katanya, antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan sekolah Maahad Sains Tok Guru (MSTG) memperoleh pingat emas pada Karnival STEM dan Inovasi di peringkat antarabangsa.

“Pada 2025 pula, dalam Karnival STEM peringkat kebangsaan yang dianjurkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dua sekolah di bawah pentadbiran YIK memperoleh pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa.

“Kesemua enam sekolah yang kita hantar mendapat pingat yang cemerlang."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga, YB Mohd Almidi Jaafar yang bertanya mengenai sejauh mana DPRK diselaraskan dengan keperluan IR4.0, khususnya penyediaan peruntukan khas bagi makmal robotik dan kecerdasan buatan (AI) di sekolah di bawah kelolaan YIK, pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Kelas Tahun 2026, hari ketiga, hari ini.

Tambah YB Dato' Wan Roslan, kerajaan negeri turut mengambil langkah memperluas peluang pendidikan dalam bidang teknikal menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan di Korea Selatan.

Katanya, rombongan kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan, baru-baru ini mengadakan persefahaman (MOU) dengan Dongyang University bagi menghantar 10 pelajar berkelulusan tahfiz untuk menyambung pengajian dalam bidang teknikal baik pulih pesawat selama tiga tahun.

“Kerajaan negeri juga mengadakan perjanjian usaha sama dengan KATA (Korea Aviation Technical Academy) untuk melatih secara praktikal pelajar-pelajar kita di Dongyang University dalam bidang baik pulih pesawat.

“Selain itu, kita mengadakan perjanjian persefahaman dengan Hanyang University bagi memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penyediaan peruntukan bagi pembangunan makmal robotik dan AI di sekolah YIK masih memerlukan penambahbaikan bagi memastikan transformasi pendidikan digital dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Menjawab soalan tambahan ADN yang sama mengenai cadangan mewujudkan pusat robotik, sains dan kecerdasan buatan (AI) di peringkat negeri untuk digunakan secara bersama oleh sekolah YIK, beliau berkata kerajaan negeri berusaha memperkasakan lagi kemudahan pendidikan berkaitan inovasi dan teknologi.

Katanya, pada 2025, kerajaan negeri mendapat sokongan daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk menubuhkan Ruang Daya Cipta (RDC) di UTC.

“RDC ini boleh digunakan oleh sekolah dan universiti di Kelantan bagi melatih pelajar dalam bidang inovasi serta menyertai pertandingan untuk memahirkan lagi mereka dalam bidang AI,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!