Sukan permotoran berpotensi jadi produk pelancongan sukan
-
13 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
34
KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat menjadikan sukan permotoran sebagai salah satu produk pelancongan sukan yang berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan penganjuran pelbagai acara permotoran yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kelab berkaitan.
Menurutnya, penganjuran acara seperti RXZ, sukan 4x4 dan motocross bukan sahaja menarik penyertaan dari dalam dan luar negeri, malah memberi manfaat kepada ekonomi setempat menerusi kehadiran peserta dan pengunjung.
“Daripada dasarnya, kerajaan sangat berpuas hati dengan penganjuran sukan bermotor. Selain daripada sukan permotoran, kita juga boleh masukkan dalam kategori ini sukan lasak seperti 4x4 dan motocross.
“Dengan demikian, kerajaan berhasrat untuk meneruskan pelaksanaan dan penganjuran ini oleh pihak NGO, selain kerajaan juga terlibat untuk menganjurkannya.”
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga YB Mohd Almidi Jaafar pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Datuk Kamarudin berkata, kerajaan negeri turut bersedia memudah cara penganjuran acara berkenaan, termasuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada program-program yang dilaksanakan.
Katanya, antara acara yang menunjukkan potensi besar ialah RXZ yang berlangsung di Kundang pada tahun ini serta 4x4 International Jamboree di Kuala Balah.
“Program 4x4 International Jamboree yang telah diadakan di Kuala Balah turut mendapat sambutan yang sangat baik dan lebih 500 kenderaan 4x4 terlibat.
“Keseluruhan program yang berjalan pada tahun lalu dan juga tahun ini dilihat sangat berjaya dan mendapat sambutan yang baik. Maka wajarlah program ini dijadikan sebagai suatu yang tetap untuk diadakan setiap tahun di tempat-tempat yang terpilih,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut melihat motorhome sebagai satu lagi produk pelancongan yang berpotensi untuk dikembangkan di Kelantan.
“Motorhome kini menjadi satu program di peringkat nasional yang bertambah popular dan mereka mengadakan kembara seluruh negara termasuk Kelantan.
“Cuma kita di Kelantan ini agak terhad tempat-tempat kemudahan untuk mereka berkumpul. Pun begitu, sudah ada usaha daripada beberapa majlis daerah untuk menyediakan tempat motorhome datang dan berlabuh seperti daerah Jeli dan Bachok,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan lokasi bersesuaian bagi membolehkan komuniti motorhome berhimpun dan menjadikan Kelantan sebagai antara destinasi persinggahan mereka.
Bagaimanapun, Datuk Kamarudin berkata, penganjuran sukan lasak seperti 4x4 dan motocross perlu mengambil kira aspek kelulusan pihak berkuasa, keselamatan serta kelestarian alam sekitar, khususnya apabila melibatkan kawasan sensitif dan hutan kekal.
“Kalau pelaksanaan 4x4 challenge, mungkin ada kesan hakisan dan juga kesan perubahan landskap tempatan. Maka wajarlah kita dapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
“Selain daripada itu, soal keselamatan juga wajar diambil kira kerana kawasan seperti Kuala Balah di Daerah Jeli dan Dabong di Daerah Kuala Krai merupakan kawasan sensitif geografi, dengan kawasan hutan kekal yang banyak dan juga kawasan rayau binatang,” katanya.
Beliau berkata, aspek keselamatan peserta dan pemeliharaan alam sekitar perlu diberi perhatian supaya penganjuran sukan permotoran dapat dilaksanakan secara terancang serta memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.







