RM92 juta setahun selenggara saliran, sungai di Kelantan
-
13 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
38
KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan komited mengurangkan risiko banjir melalui penyelenggaraan sistem saliran secara berterusan serta pelaksanaan projek tebatan banjir berskala besar dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, pendekatan jangka pendek dilaksanakan menerusi kerja-kerja penyelenggaraan saliran dan sungai dengan peruntukan kira-kira RM92 juta setiap tahun bagi memastikan aliran air keluar berjalan lancar.
Menurutnya, peruntukan tersebut antaranya digunakan untuk kerja-kerja mencuci sungai, alur serta sistem saliran yang menjadi laluan utama pengaliran air.
“Jadi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini memastikan bahawa aliran air keluar itu, perjalanannya lancar. Setiap tahun daripada peruntukan lebih kurang RM92 juta ini dibelanjakan untuk mencuci sungai, mencuci alur dan saliran-saliran untuk memastikan aliran air keluar lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri melalui JPS Negeri Kelantan turut mengambil pendekatan jangka panjang menerusi penyediaan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi setiap jajahan di negeri ini.
Menurutnya, Kelantan mempunyai 10 jajahan dan sekurang-kurangnya tiga jajahan telah menyelesaikan penyediaan PISMA, manakala jajahan-jajahan lain masih dalam pelaksanaan.
“Penyediaan pelan induk saliran mesra alam, PISMA bagi seluruh bandar-bandar utama negeri Kelantan ini penting kerana pelan induk ini menjadi garis panduan bagi perancangan dan pelaksanaan sistem saliran yang sistematik,” katanya.
Tambahnya, PISMA bukan sahaja menjadi panduan bagi pembangunan baharu, malah turut berfungsi untuk menilai sistem saliran sedia ada serta menyediakan cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko banjir.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan projek-projek jangka panjang yang memberikan impak besar terhadap pengurangan risiko banjir dilaksanakan oleh JPS Negeri Kelantan serta Unit Pelaksana Projek Persekutuan Kelantan dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 dengan kos kontrak RM446 juta yang bermula pada 2018 dan kini mencapai kemajuan 99 peratus.
Bagi PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 pula, projek berkenaan melibatkan kos RM852 juta, bermula pada 2024 dan dijangka siap pada 2029, dengan kemajuan semasa sebanyak 18 peratus.
Selain itu, PLSB Sungai Golok Fasa 1 yang mempunyai kos kontrak RM601.19 juta bermula pada 2018 dan dengan lanjutan tarikh siap sehingga 2027, kini mencapai kemajuan 71 peratus.
Pada masa sama, PLSB Sungai Golok Fasa 2 melibatkan kos kontrak RM1 bilion, bermula pada 2026 dan dijangka siap pada 2028, manakala kemajuannya masih di peringkat awal pelaksanaan.
PLSB Sungai Golok Fasa 3 pula melibatkan kos kontrak RM277 juta, bermula pada 2024 dan dijangka siap pada 2029, dengan kemajuan semasa sebanyak 19 peratus.
Mengulas aspek kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut, beliau berkata Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara bagi Kelantan turut diperkasakan melalui pemantauan tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Semerak.
Menurutnya, program berkenaan melibatkan pemantauan aras air sungai dan purata hujan selain penyampaian amaran kepada penduduk melalui sistem siren.
“Dalam memastikan program ini berjalan lancar dalam menghadapi Monsun Timur Laut, kesemua stesen telah diselenggara yang melibatkan 70 buah stesen,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta melaksanakan tindakan bersesuaian dari semasa ke semasa.
Langkah tersebut, katanya, penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi kemungkinan berlakunya banjir, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut.







