Accessibility Tools

Skip to main content

68.1 peratus rakyat Kelantan istiqamah solat fardu

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 175

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos — Sebanyak 68.1 peratus masyarakat Kelantan dikenal pasti istiqamah menunaikan solat fardu, manakala tahap kekerapan dan pelaksanaannya berada antara 87.8 hingga 94.6 peratus, berdasarkan dapatan awal kajian kerajaan negeri mengenai amalan solat dalam kalangan rakyat.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, dapatan itu diperoleh menerusi fasa pertama kajian yang dilaksanakan secara sistematik oleh kumpulan penyelidik Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Menurutnya, kajian yang bermula pada penghujung 2025 itu menyasarkan 6,400 responden dari 45 kawasan Dewan Negeri (DUN), dengan 3,227 responden telah melengkapkan fasa pertama.

“Dapatan awal menunjukkan tahap kekerapan dan pelaksanaan solat fardu berada antara 87.8 hingga 94.6 peratus. Namun, apabila diukur dari sudut istiqamah, kadarnya adalah 68.1 peratus. Ini menunjukkan masih terdapat ruang yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir, YB Mohammad Nasriff Daud pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

YB Mohd Asri menjelaskan, kajian berkenaan tidak bersandarkan pemerhatian umum atau maklum balas daripada program keagamaan semata-mata, sebaliknya dilaksanakan melalui penyelidikan lapangan secara berperingkat.

“Ini bukan berdasarkan apa yang kita dengar semasa ceramah atau ketika kita melaksanakan program. Sebaliknya, ia melalui satu kajian yang dilaksanakan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dengan turun ke lapangan secara berperingkat,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, dapatan awal tersebut turut memperlihatkan pengaruh signifikan ibu bapa dan guru dalam membentuk amalan solat sejak usia muda.

Sebanyak 90.1 peratus responden mengaitkan pelaksanaan solat fardu dengan tarbiah dan pendidikan daripada ibu bapa, manakala 60.6 peratus mempelajari pelaksanaan solat daripada guru.

Kajian sama mendapati 72 peratus dalam kelompok usia sembilan hingga 15 tahun telah melaksanakan solat fardu, manakala 89.4 peratus mula konsisten menunaikannya sebelum mencapai usia 23 tahun.

“Ini merupakan satu dapatan yang tinggi, tetapi kita juga perlu sedar bahawa masih terdapat mereka yang belum melaksanakan solat,” ujarnya.

Kajian itu turut mengukur persepsi masyarakat terhadap hubungan antara solat, pembentukan akhlak dan pencegahan kemungkaran.

Dapatan menunjukkan 99.2 peratus responden bersetuju bahawa solat membantu menjauhkan seseorang daripada perbuatan mungkar dan perkara tidak baik, manakala 98.9 peratus berpandangan solat membantu membentuk akhlak yang baik.

Pada masa sama, sebanyak 98.6 peratus responden menyatakan berasa bersalah dan berdosa apabila meninggalkan solat dengan sengaja.

Tambah YB Mohd Asri, dapatan tersebut menunjukkan tahap kesedaran terhadap kewajipan dan fungsi solat berada pada kedudukan tinggi, namun jurang antara kesedaran, kekerapan dan istiqamah perlu diberikan perhatian dalam merangka intervensi seterusnya.

Beliau berkata, keseluruhan dapatan kajian akan dimuktamadkan selepas fasa kedua selesai dengan jumlah responden keseluruhan disasarkan sekitar 6,800 orang sebelum hasilnya dikemukakan kepada pimpinan negeri.

“Hasilnya nanti kita akan kemukakan kepada para pimpinan untuk melihat bagaimana usaha ini dapat diperkasakan supaya dalam masyarakat kita ini tidak ada yang meninggalkan solat lima waktu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri meletakkan pelaksanaan solat lima waktu sebagai antara agenda utama selaras dengan visi akhirat yang menjadi asas pentadbiran negeri.

Tegasnya, Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah Kelantan 2026 yang diluluskan semalam turut memperuntukkan fasal baharu berkaitan solat lima waktu menerusi Fasal 10.

“Walaupun mungkin sukar untuk kita melihat sama ada seseorang itu solat atau tidak kerana ia merupakan hubungan dengan Allah SWT, namun sebagai sebuah kerajaan yang meletakkan visi akhirat, solat merupakan satu keutamaan dan menjadi agenda yang besar,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!