GENTERA, ADN Belia platform pembangunan kepimpinan anak muda Kelantan
-
13 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
38
KOTA DARULNAIM, 13 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan melihat penubuhan Generasi Sejahtera Kelantan (GENTERA) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan sebagai satu ekosistem pembangunan kepimpinan anak muda yang berterusan, daripada pembentukan jati diri sehingga pendedahan kepada tadbir urus dan proses membuat keputusan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, melalui program Kolej GENTERA, peserta dibentuk menerusi lima fokus utama iaitu jati diri, aktivisme kemasyarakatan, politik dan pentadbiran, kemahiran kepimpinan serta kemahiran media sosial.
Katanya, pendekatan itu turut disokong menerusi tugasan praktikal, bimbingan fasilitator berpengalaman, lawatan ke institusi kerajaan dan korporat, sesi bersama pimpinan serta penglibatan secara langsung dalam program di peringkat negeri.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memperoleh pengalaman kepimpinan sebenar dan bukan sekadar teori di dalam kelas.
“Manakala program ADN Belia pula berperanan sebagai platform kepimpinan lanjutan dengan memberi pendedahan kepada anak muda terhadap demokrasi, tadbir urus, penggubalan dasar, perbahasan isu rakyat dan fungsi institusi kerajaan."
Belia berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar, pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ketiga, hari ini.
Menurutnya, menerusi persidangan ADN Belia, perbincangan kumpulan fokus, pemukiman serta sesi percambahan idea, para peserta dilatih untuk berfikir secara kritis, mengemukakan pandangan, berbahas secara konstruktif dan menghasilkan cadangan penyelesaian terhadap isu masyarakat.
Katanya, pendekatan berkenaan turut diperluaskan menerusi penglibatan ADN Belia dalam penyediaan Pelan Pembangunan Belia Kelantan 2033.
“Program strategik seperti Kelantan Future Leaders Summit 2026 yang insya-Allah akan diadakan pada 29 Ogos ini turut memberi ruang kepada anak muda untuk menyumbang idea dan membentuk agenda pembangunan negeri.
“Secara keseluruhannya, program GENTERA membina asas karakter dan kemahiran kepimpinan, manakala ADN Belia menyediakan ruang untuk mengaplikasikan kepimpinan itu dalam konteks demokrasi, dasar dan tadbir urus,” katanya.
Menjawab soalan tambahan ADN yang sama mengenai mekanisme pemantauan dan pelan tindakan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan peserta ADN Belia Kelantan dan GENTERA terus diberi peluang menyumbang idea dalam pembuatan keputusan di peringkat kerajaan negeri, beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya memberi penekanan kepada kesinambungan pembangunan kepimpinan.
Katanya, pembangunan kepimpinan belia tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program selesai, sebaliknya perlu diteruskan melalui jaringan alumni.
“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah membangunkan satu ekosistem pembangunan belia yang lebih tersusun melalui Kelantan Future Leaders Institute (KLFI) sebagai platform penyelarasan pembangunan kepimpinan anak muda.
“Melalui pendekatan ini, alumni GENTERA dan alumni ADN Belia akan terus diberi ruang untuk terlibat dalam pelbagai inisiatif yang diadakan,” katanya.
Tambah YB Zamakhshari, penyediaan Pelan Pembangunan Belia Kelantan 2033 juga akan menjadi antara dokumen rujukan utama bagi memastikan pandangan, cadangan dan aspirasi anak muda dapat diterjemahkan ke dalam perancangan pembangunan negeri secara lebih sistematik.
“Hasrat kerajaan negeri ialah memastikan pembangunan kepimpinan belia tidak terhenti selepas tamat sesuatu program tetapi diteruskan melalui jaringan alumni.
“Sebab itu setiap program mempunyai alumni masing-masing yang mempunyai jawatankuasa sendiri bagi memastikan mereka sentiasa berhubung, mengadakan program dan terus menyumbang kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan diharap dapat melahirkan saf pimpinan muda yang berilmu, berintegriti, berpengalaman, berani menyuarakan pandangan serta mempunyai keupayaan menawarkan penyelesaian kepada isu rakyat, selaras dengan aspirasi Kelantan Future State 2033.







