Accessibility Tools

Skip to main content

1,146 penternak dan usahawan kelulut Kelantan hasilkan lebih 23 ribu kilogram madu

  • 13 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 38

KOTA DARULNAIM, 13 Ogos – Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan, sehingga 2026, seramai 1,146 penternak dan usahawan lebah kelulut telah berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dengan pengeluaran sebanyak 23,927.91 kilogram.

Justeru katanya, Kelantan mempunyai potensi besar untuk terus memperluas industri kelulut menerusi pertambahan penternak serta penghasilan pelbagai produk bernilai tambah berasaskan kelulut.

Beliau berkata, perkembangan jumlah penternak dan usahawan kelulut di negeri ini menunjukkan industri berkenaan mempunyai asas yang baik untuk terus dibangunkan.

“Melihat kepada minat dan semakin bertambah penternak kelulut di Kelantan ini, kita sedang berada pada keadaan yang baik untuk kita bangunkan lagi lebih ramai penternak-penternak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama jabatan dan agensi berkaitan akan terus memberikan khidmat nasihat serta sokongan teknikal bagi membantu pengusaha menghasilkan lebih banyak produk berasaskan madu kelulut dan menembusi pasaran yang lebih luas.

Dalam pada itu, katanya, potensi industri tersebut tidak terhad kepada penghasilan madu asli semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai produk berasaskan kelulut seperti propolis, roti madu, kosmetik, suplemen, ubat-ubatan serta kopi kelulut.

“Potensi untuk kita bangunkan usahawan madu kelulut ini semakin diterima masyarakat dan semakin membesar, insya-Allah,” katanya.

Pautan berjaya disalin!