Jalan Kemuning siap diturap, laluan alternatif ke Kota Bharu-Kuala Krai
-
16 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
60
MACHANG, 16 Ogos – Kerja penurapan Jalan Kemuning kini siap dilaksanakan, sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna yang menjadikan laluan berkenaan sebagai alternatif susulan kerja pembaikan jambatan di FT008 Jalan Kuala Krai-Kota Bharu berhampiran jejambat Machang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning, YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, penambahbaikan tersebut merupakan perkembangan yang menggembirakan kepada rakyat dan pengguna jalan berkenaan selepas sebelum ini permohonan pembaikan dibuat susulan keadaan jalan yang mengalami kerosakan.
Menurutnya, Jalan Kemuning menjadi antara laluan alternatif bagi kenderaan selain melalui bandar Machang sejak kerja-kerja pembaikan jambatan di FT008 berkenaan dijalankan.
Katanya, peningkatan penggunaan laluan tersebut menyebabkan keadaan jalan yang mengalami kerosakan sebelum ini sering mendapat rungutan daripada pengguna, sekali gus mendorong usaha mendapatkan peruntukan bagi kerja penurapan baharu.
“Alhamdulillah, jalan kini sudah siap dan lebih selesa untuk digunakan. Namun, pengguna dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, khususnya pada waktu pagi apabila jumlah kenderaan meningkat dan ramai yang mengejar masa,” katanya menerusi perkongsian di media sosial, pada 10 Ogos.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Machang dan JKR Negeri Kelantan atas tindakan serta peruntukan yang diberikan bagi menjayakan kerja penambahbaikan jalan tersebut demi keselesaan rakyat yang menggunakannya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Exco Kerjaraya, Infrastruktur dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Izani Husin serta Jurutera Jajahan JKR Machang Ir. Mohd Khairuddin Md Hamdan dan semua pihak yang terlibat dalam usaha meningkatkan kemudahan rakyat di DUN Kemuning.
Beliau juga berharap kemudahan jalan yang telah ditambah baik tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat setempat dan pengguna yang melalui laluan berkenaan.







