Multaqa Guru-Guru SABK YIK mantapkan hala tuju Pendidikan Rabbani Kelantan
-
16 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
40
KOTA DARULNAIM 16 Ogos - Multaqa Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Yayasan Islam Kelantan (YIK) menjadi medan memperkukuhkan kerjasama, menyatukan kefahaman serta memperteguh hala tuju pendidikan Rabbani dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan mempunyai jati diri Islam yang kukuh.
Program anjuran YIK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang bertemakan 'Memantapkan Sinergi Pendidikan Rabbani Memacu Kemenjadian Insan' itu turut membabitkan perkongsian berkaitan penerapan konsep Ulul Albab, hala tuju Pendidikan Rabbani Kelantan 2026 serta forum mengenai integrasi kurikulum kebangsaan dan nilai Rabbani di SABK.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, sebaliknya memikul amanah dalam membentuk insan.
Katanya, ilmu yang dipandu iman serta pendidikan yang dibina berasaskan nilai Rabbani mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi pemikiran, malah teguh akidah dan mulia akhlaknya.
“Apabila ilmu dipandu iman dan pendidikan dibina atas nilai Rabbani, insya-Allah lahirlah generasi yang bukan sahaja cemerlang fikirannya, bahkan teguh akidah dan mulia akhlaknya,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Terdahulu Dato' Wan Roslan merasmikan Multaqa Guru-Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) YIK di di Dewan Besar YIK, Tunjong.
Turut hadir, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar serta Timbalan-Timbalan Pengarah YIK serta warga pendidik yang menjayakan multaqa berkenaan.
Dato' Wan Roslan turut berharap multaqa tersebut dapat memperkukuhkan sinergi semua pihak dalam usaha mengangkat pendidikan Islam dan melahirkan generasi Rabbani yang mampu memberi manfaat kepada agama, negeri dan ummah.







