Mahasiswa perlu seimbang akademik, kemahiran insaniah - YB Zamakhshari
-
16 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
32
KOTA DARULNAIM, 16 Ogos – Mahasiswa perlu keluar daripada kepompong kampus dengan mengambil tahu perkembangan semasa serta isu sekeliling bagi melengkapkan diri menghadapi alam kerjaya.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, pencapaian akademik penting sebagai tiket awal ke alam pekerjaan, namun perlu diseimbangkan dengan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, disiplin dan keupayaan menyelesaikan masalah.
Menurutnya, mahasiswa wajar memanfaatkan tempoh pengajian dengan menyertai persatuan, memegang jawatan, membina jaringan serta berani mencuba perkara baharu.
“Seimbangkan masa antara dewan kuliah dan aktiviti luar. Sertai persatuan, ambil jawatan, belajar memimpin, cari kenalan baharu dan berani cuba benda yang tak pernah dibuat sebelum ini,” katanya menerusi perkongsian di media sosialnya selepas merasmikan penutupan Kelantan Youth Intellectual Conference 2026 (KYIC 2026) di sebuah hotel di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, pada 13 Ogos.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya bijak memilih rakan kerana lingkungan persahabatan boleh mempengaruhi cara berfikir dan penggunaan masa.
Menurutnya, kejayaan selepas universiti bukan semata-mata bergantung kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut dipengaruhi kemampuan membawa diri dan kesungguhan untuk terus belajar serta memperbaiki diri.
“Benda yang membezakan bukannya di mana bermula, tetapi konsisten untuk terus belajar dan baiki diri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru anak muda menggunakan zaman mahasiswa untuk membina kualiti dan jati diri yang seimbang serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.







