Accessibility Tools

Skip to main content

Kembara Armalah raikan ibu tunggal, eratkan ukhuwah – YB Hilmi

  • 16 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 34

KOTA DARULNAIM, 16 Ogos - Program Kembara Armalah 2026 memberi ruang kepada golongan ibu tunggal untuk berehat seketika daripada rutin harian, selain mengeratkan ukhuwah dan mencipta kenangan bersama.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, program berkenaan bukan sekadar membawa golongan armalah berkunjung ke beberapa destinasi menarik, sebaliknya menjadi ruang untuk mereka berehat, tersenyum, berkongsi cerita dan menikmati masa bersama.

Menurut YB Hilmi yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, sesekali golongan armalah perlu dibawa keluar daripada rutin harian dengan melakukan aktiviti secara bersama seperti menaiki bas, berjalan, melihat tempat baharu, membeli-belah, menikmati makanan tempatan dan beriadah.

“Kembara hari ini membawa rombongan menikmati beberapa lokasi menarik termasuk Ladang Buah Tin, kilang keropok, Kampung Laut, Serunding RS dan Dodol Kampung Laut, Nordin Batik serta aktiviti santai di Mydin Tunjong.

“Bukan semata-mata sebuah perjalanan tetapi ruang untuk berehat, tersenyum, berkongsi cerita dan mengeratkan ukhuwah sesama mereka,” katanya di laman rasmi, semalam.

Terdahulu, beliau melaksanakan pelepasan rombongan Kembara Armalah 2026 DUN Guchil dan Mengkebang ke beberapa destinasi terpilih di Jajahan Tumpat.

Turut bersama, isterinya Norhasliza Mahmood, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman serta ADN Mengkebang YB Zubir Abu Bakar.

YB Hilmi berkata, golongan armalah bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya merupakan wanita yang kuat dalam membesarkan keluarga, mengurus kehidupan dan terus berdiri teguh walaupun melalui pelbagai ujian.

Tambahnya, terdapat dalam kalangan mereka yang mungkin jarang berpeluang keluar berjalan jauh kerana lebih banyak memberi tumpuan kepada anak-anak dan keluarga.

“Ada yang mungkin jarang berpeluang keluar berjalan jauh. Ada yang sepanjang hidupnya lebih banyak memikirkan anak-anak dan keluarga berbanding dirinya sendiri. Maka pada hari ini, biarlah mereka pula diraikan,”ujarnya.

Beliau berkata, program sebegitu diharap menjadi salah satu cara untuk menyantuni golongan armalah bukan sahaja daripada sudut kebajikan material, malah melalui sokongan emosi, persahabatan dan kegembiraan.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Urus Setia Pembangunan Kebajikan, Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Pegawai Armalah DUN Guchil dan Mengkebang serta semua petugas yang menjayakan perjalanan berkenaan.

“Hari ini kita tidak hanya membawa mereka berjalan — kita membawa bersama senyuman, persahabatan dan rasa bahawa mereka sentiasa dihargai,” katanya.

Pautan berjaya disalin!