Accessibility Tools

Skip to main content

Persidangan DUN platform semak dan imbang – MB Kelantan

  • 16 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 52

KOTA DARULNAIM, 16 Ogos – Dewan bukan gelanggang untuk menentukan siapa paling kuat bersuara, sebaliknya medan semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar, keputusan dan tindakan kerajaan dapat diperhalusi dengan sebaiknya.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata sebagai ketua kerajaan, menjadi tanggungjawab beliau untuk mendengar dan menghalusi setiap pandangan yang diutarakan sepanjang persidangan.

“Yang baik kita pertimbangkan, yang membina kita perkemaskan, yang menjadi kelemahan kita perbaiki,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Katanya, apabila persidangan berakhir, tidak seharusnya lagi dibicarakan mengenai siapa kerajaan dan siapa pembangkang semata-mata, sebaliknya semua pihak membawa pulang amanah yang sama untuk memastikan rakyat menerima manfaat daripada setiap perkara yang dibahaskan.

Untuk rekod, Persidangan Dewan Negeri Kelantan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Kelas Tahun 2026 berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos.

Menurut MB Kelantan, perbezaan pandangan tidak seharusnya memutuskan hubungan, malah daripada perbezaan itu lahir semakan yang lebih teliti, keputusan yang lebih baik dan pentadbiran yang lebih bertanggungjawab.

“Momen-momen selepas persidangan juga membawa makna tersendiri. Berbincang, bertukar pandangan, meneliti dokumen dan bersalaman dalam suasana penuh hormat.

“Inilah wajah demokrasi yang ingin kita suburkan, tegas ketika berbahas, matang ketika berbeza dan tetap bersama apabila kepentingan rakyat menjadi matlamatnya,” jelasnya.

Tambahnya, pihak kerajaan perlu bersedia untuk ditegur, manakala pihak pembangkang pula mempunyai ruang untuk menegur dan menawarkan pandangan.

“Kedua-duanya mempunyai peranan dalam memastikan negeri terus bergerak ke hadapan. Ini kerana rakyat mahu melihat apa yang lahir daripada perbahasan itu sampai ke kehidupan mereka,” jelasnya.

Beliau turut berharap budaya politik yang matang itu terus dipelihara.

“Kita boleh berbeza di kerusi Dewan, tetapi apabila berbicara tentang kesejahteraan rakyat, kita sedang memikul amanah yang sama.

“Terima kasih kepada seluruh ahli dewan, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan, mengemukakan pandangan, teguran, persoalan serta cadangan sepanjang persidangan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!