Pemilik Warisan Rasa dinobat Ikon Usahawan Sayyidatina Khadijah DUN Wakaf Bharu
-
16 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Mohd Rusli
-
57
TUMPAT, 16 Ogos - Pemilik Restoran dan Katering Warisan Rasa Maznah Idris dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Sayyidatina Khadijah DUN Wakaf Bharu 2026 pada Program Hari Sayyidatina Khadijah, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, pengiktirafan tersebut merupakan penghargaan terhadap usaha Maznah dalam membangunkan perniagaan berasaskan makanan dan katering menerusi Warisan Rasa.
Katanya, Warisan Rasa bukan sahaja menjadi platform kepada Maznah mengembangkan bidang keusahawanan, malah mencerminkan peranan wanita dalam membina sumber pendapatan serta menyumbang kepada pengukuhan ekonomi keluarga dan masyarakat setempat.
“Pengiktirafan ini menjadi penghargaan terhadap usaha Puan Maznah membina perniagaan dalam bidang makanan dan katering, selain menjadi contoh bahawa wanita mampu memainkan peranan besar dalam menggerakkan ekonomi keluarga dan masyarakat,” katanya di laman rasmi beliau, pada Sabtu.
Menurutnya, pengiktirafan Ikon Usahawan Sayyidatina Khadijah DUN Wakaf Bharu 2026 itu diwakili oleh anak Maznah selepas beliau baru sahaja kehilangan suami, Allahyarham Azam Abbas, pada 4 Ogos.
Program Hari Sayyidatina Khadijah 2026 berlangsung di Dewan Imam As-Syafie, Masjid Wakaf Bharu dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai pengisian untuk wanita termasuk KelFit Senam Sihat, chairrobic, ceramah kesihatan, cabutan bertuah, persembahan marhaban serta penyampaian Skim Manfaat Armalah.
YB Mohd Rusli turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Mumtaz, seluruh urusetia, para peserta dan semua pihak yang bersama-sama menjayakan Hari Sayyidatina Khadijah 2026.









