Anak muda bebas kritik, kemuka pandangan berasaskan ilmu dan fakta – Dato’ Wan Roslan
-
16 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
-
35
TUMPAT, 16 Ogos – Generasi muda Kelantan bebas mengemukakan pandangan, teguran dan kritikan terhadap dasar kerajaan, namun ia perlu berasaskan ilmu, fakta, adab serta kefahaman terhadap realiti sesuatu perkara.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar suara generasi muda sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan masyarakat.
“Kerajaan negeri menghargai pandangan, teguran, kritikan dan cadangan anak-anak muda. Namun suara yang baik mestilah lahir daripada ilmu, fakta dan kefahaman terhadap realiti sebenar sesuatu perkara.
“Saya mahu peserta KFLA berani bertanya, termasuk bertanya soalan yang sukar. Cabarlah idea, kemukakan pandangan dan bincangkan perbezaan secara matang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Kelantan Future Leaders Academy (KFLA) 2026 anjuran Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) di D Rhu Beach Resort, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Ogos 2026 itu menghimpunkan hampir 100 mahasiswa dengan pengisian yang memberi fokus kepada pembinaan pemikiran, karakter, nilai serta jiwa kepimpinan generasi muda.
Menurut Dato’ Wan Roslan, perkembangan media sosial menyebabkan masyarakat hari ini boleh memberikan pandangan dengan pantas, namun sesuatu dasar kerajaan perlu difahami secara menyeluruh sebelum sebarang penilaian atau kritikan dibuat.
“Dalam dunia pentadbiran, sesuatu keputusan mungkin melibatkan undang-undang, kewangan, bidang kuasa, prosedur, keutamaan kerajaan serta kesan jangka panjang kepada masyarakat.
“Sebab itu sebelum kita menghukum sesuatu dasar, fahamilah terlebih dahulu bagaimana dasar tersebut dirancang, dilaksanakan dan dinilai,” ujarnya.
Beliau menegaskan, budaya mengemukakan kritikan perlu disertai kesediaan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
Katanya lagi, anak muda perlu belajar mengenal pasti punca sesuatu masalah sebelum mencadangkan penyelesaian serta memahami aspek pelaksanaan, pihak yang terlibat, kos dan kesan daripada sesuatu cadangan.
“Saya mahu KFLA menjadi tempat anak-anak muda belajar beralih daripada budaya ‘mengadu tentang masalah’ kepada budaya ‘mencadangkan penyelesaian’.
“Jangan hanya menjadi generasi yang paling pantas mengetahui sesuatu masalah tetapi jadilah generasi yang paling bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menyelesaikannya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dato’ Wan Roslan menegaskan pembangunan generasi muda perlu diseimbangkan antara kompetensi dan integriti supaya mereka mampu menjadi pemimpin yang cekap, amanah dan mempunyai prinsip.
“Kita mahu individu yang cekap tetapi amanah, profesional tetapi mempunyai prinsip, mahir teknologi tetapi berakhlak serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa tanpa kehilangan identiti sebagai seorang Muslim dan anak Kelantan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru peserta KFLA memanfaatkan peluang yang diberikan untuk membina jaringan dengan peserta lain, fasilitator, golongan profesional serta pemimpin yang ditemui sepanjang program.
Tambahnya, jaringan dan pengalaman yang dibina pada usia muda mampu menjadi kekuatan bernilai dalam perjalanan kepimpinan mereka pada masa hadapan.







