Surau PMBI Bukit Kayangan Bertam siap dibina
-
17 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Ustaz Asri Daud
-
36
KOTA DARULNAIM, 17 Ogos - Surau Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) Bukit Kayangan di Kampung Jambatan Bengkok, Mukim Bertam, Gua Musang siap dibina.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, cadangan pembinaan surau berkenaan dikemukakan ketika beliau hadir ke tapak berkenaan dua tahun lalu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurutnya, pada ketika itu beliau menerima permohonan daripada Penyelia DUN Nenggiri Rizwadi Ismail untuk membina surau bagi kegunaan penduduk perumahan setempat sebelum permohonan berkenaan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan melalui saluran pentadbiran.
"Melalui kelulusan dan sumbangan YAB Dato' Panglima Perang Menteri Besar Kelantan, juga sumbangan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta dermawan, surau ini mula dibangunkan dan mengambil tempoh dua tahun untuk disiapkan.
"Alhamdulillah, malam ini saya kembali untuk membuat pembukaan sebuah surau di atas bukit di Kampung Jambatan Bengkok, Mukim Bertam, Gua Musang," katanya di media sosial, pada Ahad.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan majlis pembukaan surau tersebut.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan Dr Hasnan Ramli, Penyelia DUN Nenggiri Riswadi Ismail, Penyelia DUN Galas Mohd Tarmizi Abd Rahman, Pegawai Agama Jajahan (PAJ) Gua Musang Mohd Hafiz Mat Sulaiman, Pengelola Halaqat Gua Musang Zul Azhar Zulkefli serta Ahli Jawatankuasa Surau Bukit Kayangan.







