Dato’ Rohani santuni dua keluarga diuji kehilangan anak
-
17 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media Dato' Rohani
-
37
KOTA DARULNAIM, 17 Ogos - Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim hadir menziarahi dua keluarga di Guchil, Kuala Krai yang berdepan ujian berat selepas kehilangan dua anak dalam tragedi lemas di Kampung Aur Duri, Kuala Krai pada 11 Ogos.
Dalam kunjungan itu, Dato’ Rohani menzahirkan rasa simpati dan sokongan terhadap keluarga mangsa dan menyifatkan pemergian kedua-dua anak berkenaan sebagai satu kehilangan yang amat berat.
“Tiada kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang dirasai oleh kedua-dua keluarga. Semoga mereka terus diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya di laman rasmi, semalam.
Menurutnya, manga pertama, Allahyarham Lut Na’iman Mohd Noor Aziron, 14, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat, pada pukul 9.10 pagi.
Manakala mangsa kedua, Allahyarham Muhamad Rayyan Hakimie Mohd Yusmiza, 14, ditemukan selepas empat hari pencarian oleh pasukan Task Force Skuad Bantu kira-kira 51 kilometer dari lokasi kejadian, di Kampung Bandar Pulai Chondong, Machang.
Tambahnya, Kedua-dua mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai.
Dalam pada itu, Dato’ Rohani turut menitipkan doa agar kedua-dua keluarga berkenaan diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangan insan tersayang.
Beliau turut mendoakan agar roh kedua-dua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan rahmat dan keampunan Allah SWT.
“Al-Fatihah buat kedua-dua arwah. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beroleh rahmat serta keampunan daripada Allah SWT,” ujarnya.







