Accessibility Tools

Skip to main content

Program khidmat masyarakat dekatkan rakyat dengan institusi perundangan syariah

  • 17 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 34

KOTA DARULNAIM, 17 Ogos - Penganjuran program Khidmat Masyarakat, Litigasi Syariah, Sokongan Keluarga MADANI dan Klinik Guaman Syariah di Dewan Sukan Majlis Daerah  Dabong, Kuala Krai menjadi inisiatif penting dalam mendekatkan masyarakat dengan institusi perundangan syariah.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, mendapatkan keadilan bukan hak eksklusif mana-mana pihak, sebaliknya hak mutlak setiap insan tanpa mengira status dan taraf hidup.

Namun katanya, faktor geografi adakalanya membataskan akses masyarakat untuk mendapatkan nasihat serta menyelesaikan permasalahan secara adil.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran program tersebut amat baik dalam mendekati masyarakat dengan institusi perundangan syariah.

Katanya lagi, program berkenaan turut memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan khidmat nasihat guaman dan bantuan litigasi bagi mengatasi permasalahan yang berlaku melalui kaedah perundangan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (JKSNK) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) atas penganjuran program Khidmat Masyarakat, Litigasi Syariah, Sokongan Keluarga MADANI dan Klinik Guaman Syariah yang diadakan di Dabong, Kuala Krai, semalam.

“Bagi saya, program yang diadakan ini adalah suatu inisiatif yang amat baik untuk mendekati masyarakat dengan institusi perundangan syariah, sekali gus memberikan ruang kepada masyarakat mendapatkan khidmat nasihat guaman dan bantuan litigasi bagi mengatasi permasalahan yang berlaku melalui kaedah perundangan,” katanya di media sosial pada Ahad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Marhamah Rosli atas kesudian berkunjung ke Kelantan dan bersama-sama menjayakan program berkenaan.

Menteri Besar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam memastikan program berkenaan dilaksanakan dengan lancar serta mencapai objektif yang digariskan.

Beliau berharap pendekatan menyantuni dan mendekati masyarakat bagi memahami syariah dalam kehidupan dapat terus disemarakkan.

Tambahnya, seruan itu selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) untuk memperkasakan pengamalan syariah dalam kehidupan rakyat.

Sempena program tersebut, pelbagai acara disusun bagi menyantuni dan mendekati masyarakat setempat dengan inisiatif yang ada dalam jabatan kehakiman syariah.

Antaranya forum Undang-undang Syariah, ceramah kerjaya, khidmat nasihat perundangan, klinik guaman, riadhah bola sepak dan kenduri Rakyat serta persembahan dikir barat.

Manakala pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan terlibat mengadakan pameran sepanjang dua hari di reruai yang disediakan, antaranya Bahagian sokongan Keluarga dan Unit Sulh Jabatan Kehakimam Syariah, Jabatan Bantuan Guaman, Pejabat Agama Jajahan Kuala Krai, polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabayan Kastam Diraja Malaysia, Tabung Haji, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain.

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan Dato' Ibrahim Deris.

Pautan berjaya disalin!