Accessibility Tools

Skip to main content

Usahawan FELDA disaran manfaat media sosial perkasa agro-pelancongan Kelantan

  • 17 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 42

KOTA DARULNAIM, 17 Ogos – Usahawan khususnya generasi FELDA disaran memanfaatkan kekuatan media sosial secara strategik bagi memperluas pasaran produk tempatan selain memperkukuh sektor agro-pelancongan berasaskan komuniti di Kelantan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan tersebut mampu membantu usahawan membina jenama sendiri, memperkenalkan produk tempatan serta mengetengahkan keunikan makanan dan destinasi pelancongan negeri kepada khalayak lebih luas.

Menurutnya, perkembangan itu turut dapat dilihat menerusi usaha usahawan dan influencer Wan Nor Azilah Wan Dollah atau lebih dikenali sebagai “Kak Lah Yang Satu” bersama suaminya, “Pok Wa” yang aktif membangunkan keusahawanan komuniti di kawasan FELDA Perasu.

Beliau berkata, Kak Lah merupakan antara usahawan generasi baharu anak FELDA yang meneroka sektor agro-pelancongan menerusi pembukaan tapak perkhemahan dan restoran di kawasan berkenaan.

“Pertemuan santai ini turut menjadi ruang untuk kami bertukar-tukar pandangan mengenai potensi keusahawanan tempatan, sektor pelancongan berasaskan komuniti, produk makanan tradisional serta peranan media sosial dalam membantu usahawan kecil memperluaskan pasaran,” katanya menerusi perkongsian di media sosial selepas menerima kunjungan hormat usahawan berkenaan di pejabatnya, semalam.

Dalam pada itu, YB Hilmi turut memuji usaha Kak Lah dalam mempromosi dan mempopularkan hidangan tradisi Kelantan, khususnya nasi kerabu, menerusi platform media sosial.

Menurutnya, usaha mengetengahkan makanan tradisional melalui kandungan digital bukan sahaja membantu memperkenalkan produk kepada masyarakat, malah berpotensi meningkatkan tarikan terhadap destinasi dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai anak tempatan khususnya generasi FELDA wajar mengambil peluang meneroka bidang keusahawanan baharu dengan menggabungkan potensi sumber setempat dan penggunaan teknologi digital.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan lebih ramai anak tempatan khususnya generasi FELDA yang berani meneroka peluang baharu, membina jenama sendiri dan pada masa yang sama mengangkat keunikan makanan, budaya serta destinasi menarik yang ada di Kelantan,” katanya.

Tambahnya, perkembangan keusahawanan sedemikian turut berupaya memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan, aktiviti pelancongan dan peningkatan permintaan terhadap produk-produk tempatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Puan Azilah atas kunjungan serta buah tangan yang dibawa, selain mendoakan agar segala usaha dalam membangunkan dan mempopularkan kawasan FELDA dipermudahkan serta dikurniakan rezeki yang luas dan berkat.

Pautan berjaya disalin!