Accessibility Tools

Skip to main content

Rumput Junchou berpotensi kurangkan kos input industri ruminan

  • 17 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 40

KOTA DARULNAIM, 17 Ogos – Rumput Junchou berpotensi dibangunkan sebagai sumber makanan ternakan khususnya bagi industri ruminan di Kelantan, sekali gus membantu mengurangkan kos input serta kebergantungan kepada sumber makanan ternakan dari luar.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, potensi tersebut wajar diteroka sebagai salah satu usaha memperkukuh industri penternakan dan keterjaminan makanan negeri.

Menurutnya, teknologi berkaitan pembiakan, penanaman dan pengurusan rumput Junchou perlu diberi perhatian bagi melihat kesesuaiannya sebagai sumber makanan ternakan yang boleh dimanfaatkan dalam industri ruminan.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian di media sosial selepas menghadiri sesi taklimat berkaitan teknologi pembiakan, penanaman dan pengurusan rumput Junchou di Desa Gemalai, Kampung Lubok Jambu, Ketereh, semalam.

Sesi taklimat berkenaan turut disampaikan CEO Yusri Maju Mohd Yusri Muhammad Nor bersama agensi-agensi berkaitan bagi memberi penerangan mengenai teknologi dan pengurusan tanaman berkenaan.

Dalam pada itu, Dato’ Tuan Mohd Saripudin memaklumkan, penggunaan sumber makanan ternakan yang boleh dihasilkan secara tempatan berpotensi memberi manfaat kepada pengusaha ternakan khususnya dari aspek pengurusan kos input.

Sehubungan itu, katanya, penerokaan terhadap rumput Junchou akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha mencari sumber makanan ternakan yang dapat menyokong perkembangan industri ruminan negeri.

Tambahnya, pengukuhan sumber makanan ternakan merupakan antara aspek yang penting dalam memastikan industri penternakan dapat berkembang secara lebih mampan, di samping menyokong agenda keterjaminan makanan Kelantan.

“Insya Allah, usaha ini akan terus diteroka sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh industri penternakan dan keterjaminan makanan Negeri Kelantan,” jelasnya.

Beliau turut berharap penerokaan teknologi berkaitan rumput Junchou dapat memberikan nilai tambah kepada pembangunan sektor penternakan negeri melalui penghasilan sumber makanan ternakan yang berpotensi dimanfaatkan secara tempatan.

Pautan berjaya disalin!