147 pelajar Kelantan terima sumbangan, bakal lanjut pengajian ke luar negara
-
17 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
35
KOTA DARULNAIM, 17 Ogos - Sebanyak 147 pelajar Kelantan menerima sumbangan sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan, Tunisia, Korea Selatan dan Arab Saudi menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan dan Ramah Mesra Meraikan Pelajar-Pelajar Kelantan ke Luar Negara, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, peluang melanjutkan pengajian ke luar negara perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menimba sebanyak mungkin ilmu serta berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.
“Saya mengambil kesempatan untuk ucap tahniah di atas kejayaan anda semua anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Rebutlah peluang ini untuk kita menimba sebanyak mungkin ilmu dan saya mendoakan supaya saudara-saudari sekalian mendapat kejayaan yang cemerlang dalam setiap bidang pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim berkata, kesemua 147 pelajar berkenaan mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke lima negara berkenaan dalam pelbagai bidang.
Katanya, bidang pengajian yang diceburi merangkumi syariah, qiraat, bahasa Arab, pengajaran Islam, perubatan dan kejuruteraan.
“Pada tahun ini juga, YAKIN bersama Yayasan Islam Kelantan (YIK) sekali lagi memainkan peranan lebih luas dalam membangunkan pendidikan apabila seramai 10 pelajar kumpulan perintis daripada Maahad Tahfiz sekolah YIK dipilih melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Korea Selatan.
“Hubungan pendidikan ini juga merupakan hasil usaha berterusan Exco Pendidikan, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat bagi memastikan peluang pendidikan dapat direbut oleh anak-anak Kelantan,” Katanya.
Nik Jessim berkata, YAKIN sentiasa berusaha mencari peluang pengajian di luar negara melalui jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan kerajaan serta rakan antarabangsa.
Menurutnya, peluang melanjutkan pengajian di luar negara bukan sahaja memberikan ilmu dan kelayakan akademik, malah mendedahkan pelajar kepada pengalaman budaya, teknologi, sistem pendidikan serta cara berfikir yang berbeza.
“Kita mahu anak-anak Kelantan yang keluar menuntut ilmu membawa bersama nama baik Kelantan, menjadi duta kecil negeri dan apabila tamat pengajian nanti kembali menyumbang kepada masyarakat serta negeri Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan menitipkan lima pesanan kepada para pelajar, antaranya memperbetulkan niat belajar kerana Allah SWT, menetapkan cita-cita yang tinggi serta menjaga akhlak sepanjang berada di luar negara.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengikuti pembelajaran dan tidak segan bertanya kepada pensyarah sekiranya terdapat perkara yang tidak difahami.
“Kalau tidak faham, tanya selalu. Tanya pensyarah. Jangan tidak faham, kemudian kata esoklah tanya. Tanya selalu supaya kita mendapat kefahaman,” ujarnya.
Dato’ Mohd Nassuruddin turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang menjadi antara tonggak penting kejayaan para pelajar sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Anda semua adalah harapan keluarga, guru, negeri dan negara. Gunakan peluang ini sebaik-baiknya dan bawa pulang kejayaan untuk disumbangkan kepada masyarakat dan negeri Kelantan,” tegasnya.







