Bahasa Arab kunci fahami ilmu – Exco Pendidikan
-
18 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
47
KOTA DARULNAIM, 18 Ogos - Penguasaan bahasa Arab menjadi antara kunci penting dalam memahami ilmu, khususnya khazanah pengajian Islam yang bakal dipelajari siswa yang melanjutkan pengajian ke Republik Tunisia.
Demikian kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat.
Menurutnya, Kursus Persediaan Bahasa Arab anjuran Yayasan Islam Kelantan dengan kerjasama Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) merupakan antara usaha awal untuk membekalkan pelajar dengan penguasaan bahasa berkenaan sebelum melangkah ke alam pengajian di Tunisia.
“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, bahkan merupakan kunci penting untuk memahami ilmu, khususnya khazanah pengajian Islam yang bakal mereka tekuni,” katanya di media sosial, pada Isnin.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Kursus Persediaan Bahasa Arab bagi pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Ez-Zitouna, Republik Tunisia, di sebuah hotel di Kota Bharu pada Isnin.
Turut hadir Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar, Pengarah YAKIN Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim, wakil Yayasan Terengganu serta dua pensyarah dari Tunisia yang turut bersama dalam menjayakan program persediaan berkenaan.
Dato' Wan Roslan turut berpesan kepada pelajar supaya menggunakan peluang menuntut ilmu di luar negara dengan sebaik-baiknya serta membawa cita-cita besar tanpa melupakan agama, keluarga dan negeri yang menjadi tempat mereka dibesarkan.
“Jadikan perjalanan ini sebagai satu amanah untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman. Kelak, pulanglah untuk berbakti kepada agama, masyarakat dan tanah air,” katanya.
Beliau turut mendoakan supaya segala urusan pelajar dipermudahkan, dikurniakan kejayaan sepanjang pengajian serta dipelihara sepanjang berada di perantauan.
“Selamat bermusafir dan selamat menuntut ilmu di bumi Tunisia. Semoga pulang nanti membawa ilmu, adab dan manfaat untuk ummah,” ujarnya.
















