Accessibility Tools

Skip to main content

Rumah mampu milik mesti sampai kepada kumpulan sasaran - YB Hilmi

  • 18 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 73

KOTA DARULNAIM, 18 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan komited memastikan penyediaan Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) benar-benar memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri, selaras aspirasi “Satu Rumah Untuk Satu Keluarga”.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan itu diterapkan melalui Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) 2026 yang memberi tumpuan kepada pembinaan fizikal rumah dan mengambil kira kemampuan pembeli, keselesaan keluarga, kesejahteraan komuniti dan keperluan jangka panjang rakyat.

Beliau berkata demikian selepas menerima Lawatan Kerja dan Kunjungan Hormat Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat, Dewan Negara yang diketuai Senator YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli di pejabatnya, semalam.

Katanya, RMMK 2026 menetapkan kerangka penyediaan rumah mampu milik melalui kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi dan badan berkanun serta pihak swasta.

“Dasar RMMK 2026 turut menetapkan kategori harga rumah mampu milik di bawah RM250,000, selain ciri asas seperti tiga bilik tidur dan dua bilik mandi atau tandas serta elemen pembangunan komuniti yang sesuai dengan kehidupan masyarakat Kelantan,” katanya menerusi media sosial pada Ahad.

Jelasnya, kerajaan negeri turut menetapkan kuota penyediaan RMMK dalam pembangunan kediaman tertentu, di samping mekanisme kawalan seperti moratorium bagi mengelakkan rumah mampu milik menjadi bahan spekulasi.

Menurutnya lagi, langkah berkenaan penting bagi memastikan rumah yang disediakan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran yang memerlukan tempat tinggal dan bukan semata-mata dijadikan instrumen pelaburan.

Pada masa sama, Bahagian Perumahan Negeri terus berperanan menyelaras projek RMMK, mengurus permohonan dan pemilihan pemohon yang layak, memudah cara projek bersama jabatan Persekutuan serta sektor swasta dan menyediakan perancangan belanjawan tahunan bagi pembangunan perumahan rakyat.

YB Hilmi turut menegaskan, isu perumahan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, PBT, pemaju, institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki kediaman.

“Bank Negara perlu menilai semula kadar BLR atau BFR bagi menjayakan hasrat pemilikan rumah mampu milik ini dengan membezakan kadar faedah berbanding rumah-rumah mewah lain,” jelasnya.

Tambanhya, selain RMMK, kerajaan negeri turut membantu keluarga miskin dan asnaf melalui pembinaan Rumah Dhuaafa dan Rumah MAIK secara percuma sebagai sebahagian usaha membantu golongan memerlukan mendapatkan kediaman.

"Usaha penyediaan rumah melibatkan pelbagai bidang kuasa apabila tanah berada di bawah bidang kuasa negeri, projek dilaksanakan oleh pelbagai agensi, manakala pembiayaan pula melibatkan institusi kewangan.

“Apabila semua pihak bergerak dalam satu matlamat yang sama, lebih banyak halangan dapat diselesaikan dan lebih ramai rakyat dapat dibantu memiliki kediaman,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Senator YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli serta seluruh delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat, Dewan Negara atas kunjungan, pandangan dan sesi perbincangan yang konstruktif.

Pautan berjaya disalin!