Accessibility Tools

Skip to main content

Penguatkuasaan buang sampah diperkasa melalui khidmat masyarakat

  • 18 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 82

KOTA DARULNAIM, 18 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh kesiapsiagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani kesalahan pembuangan sampah kecil menerusi penyelarasan penguatkuasaan serta pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi meningkatkan keberkesanan tindakan dan membentuk perubahan tingkah laku masyarakat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, langkah itu diperkasa menerusi Mesyuarat Penyelarasan dan Sesi Taklimat Penguatkuasaan Kesalahan Pembuangan Sampah Kecil serta Pelaksanaan PKM bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurutnya, sesi berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesiapsiagaan PBT seluruh Kelantan supaya penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, seragam dan berkesan.

“Perkongsian oleh SWCorp lebih memberi penekanan kepada tatacara penguatkuasaan, proses siasatan dan pendakwaan, mekanisme pelaksanaan PKM, aspek keselamatan serta pemantauan,” katanya di media sosial, semalam.

Beliau memaklumkan, taklimat berkenaan turut memberi penjelasan mengenai pelaksanaan penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), termasuk peruntukan hukuman berkaitan kesalahan pembuangan sampah kecil.

Jelasnya, pemahaman menyeluruh terhadap proses siasatan, pendakwaan dan tatacara pelaksanaan PKM penting bagi memastikan setiap PBT mempunyai kesiapsiagaan yang mencukupi sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Pada masa sama, aspek keselamatan dan pemantauan turut diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan PKM dapat dilakukan secara teratur serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

YB Hilmi berkata, pendekatan PKM bukan sekadar tindakan terhadap pesalah, sebaliknya mempunyai fungsi mendidik dengan memberi peluang kepada individu terbabit memahami kesan perbuatan mereka terhadap kebersihan dan alam sekitar.

“Pelaksanaan PKM ini diharap akan memberikan penginsafan, membentuk perubahan tingkah laku serta mengurangkan pencemaran alam sekitar, sekali gus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan kondusif,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, penyelarasan antara PBT dengan agensi berkaitan perlu diteruskan bagi memastikan penguatkuasaan kesalahan pembuangan sampah kecil dapat dilaksanakan secara konsisten di seluruh negeri.

Tambahnya, kerjasama dengan SWCorp turut menyediakan ruang kepada PBT untuk memperkemas pengetahuan mengenai aspek perundangan dan prosedur penguatkuasaan, sekali gus mengurangkan jurang pelaksanaan antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Pautan berjaya disalin!