YB Mohd Adanan santuni waris mangsa kemalangan di Jejambat Wakaf Bharu
-
18 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
29
KOTA DARULNAIM, 18 Ogos - Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan menziarahi dan menyantuni waris Allahyarham Muhammad Faris Mohamed Khalid yang maut dalam kemalangan di Jejambat Wakaf Bharu pada Ahad.
YB Mohd Adanan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang itu.
“Salam takziah buat arwah Muhammad Faris Mohamed Khalid yang terlibat kemalangan menyayat hati petang semalam. Arwah dipercayai tidak sempat mengelak dan terlanggar belakang lori yang diparkir atas flyover Wakaf Bharu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.
Menurut laporan polis, kejadian berlaku ketika mangsa melalui selekoh di Jalan Flyover Wakaf Bharu sebelum motosikal ditunggangnya melanggar lori berkenaan yang dipercayai diparkir di bahu jalan selepas kehabisan minyak.
Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan.
Sehubungan itu, YB Mohd Adanan turut mendoakan agar Allah SWT merahmati dan mengampuni roh Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Semoga Allah merahmati, mengampuni roh arwah dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.








