Accessibility Tools

Skip to main content

RMMK Badang sedia kemudahan lengkap untuk komuniti – Dr Wan Martina

  • 18 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 65

KOTA DARULNAIM, 18 Ogos - Projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Badang menyediakan kediaman pada harga berpatutan dan dilengkapi kemudahan lengkap bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, penyediaan kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika dan premis perniagaan menjadikan pembangunan berkenaan lebih menyeluruh serta memberi nilai tambah kepada kehidupan penduduk.

“RMMK Badang bukan sekadar menyediakan rumah mampu milik, tetapi turut dilengkapi kemudahan yang diperlukan oleh komuniti. Pendekatan seperti ini penting supaya pembangunan perumahan turut mengambil kira aspek sosial dan kesejahteraan penduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara kemudahan termasuk surau, dewan serbaguna, tadika, pejabat pengurusan, sembilan unit gerai dan enam unit kedai bagi memenuhi keperluan penduduk.

Kemudahan parkir pula merangkumi 360 petak parkir kereta bertutup di tingkat bawah setiap blok, 92 petak parkir motosikal serta sembilan petak khas bagi Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Dr Wan Martina, projek tersebut turut memberi peluang kepada golongan  rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri pada harga yang lebih munasabah.

“Saya melihat projek ini sebagai satu usaha yang memberi peluang lebih luas kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, untuk memiliki kediaman sendiri pada harga yang lebih munasabah.

“Ini penting kerana pemilikan rumah merupakan antara aspek yang berkait rapat dengan kestabilan dan kesejahteraan sesebuah keluarga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat (JKPK HESM), Majlis Dewan Negara ke RRMK tersebut, semalam.

Dalam lawatan tersebut, delegasi JKPK HESM yang diketuai YB Senator Datuk Dr Hatta Ramli berkesempatan meninjau projek RMMK Badang di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, yang kini telah siap sepenuhnya.

Projek bernilai RM26 juta yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu melibatkan pembinaan tiga blok apartmen setinggi 10 dan 11 tingkat dengan keseluruhan 344 unit kediaman terdiri daripada Jenis A, B dan C.

Harga jualan yang dicadangkan antara RM45,000 hingga RM130,000, sekali gus memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri pada harga lebih berpatutan.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan YB Hilmi Abdullah, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan YB Dato’ Abdul Rahman Yunus, Pengarah Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Kelantan Nik Azhar Nik Abdul Aziz serta pihak pengurusan PKINK.

Pautan berjaya disalin!