Accessibility Tools

Skip to main content

Seminar pemerkasaan 5G perkukuh agenda digital Kelantan

  • 18 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 40

KOTA BHARU, 18 Ogos — Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pendigitalan negeri menerusi penganjuran Seminar Pemerkasaan 5G di Kelantan dan Pameran 5G, Digital, Sains dan Teknologi Kelantan 2026, hari ini.

Program yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5.00 petang di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, menjadi platform strategik bagi meningkatkan kesedaran, pemahaman dan penerapan teknologi 5G serta teknologi digital dalam kalangan masyarakat, sektor awam dan industri di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata seminar berkenaan turut memberi tumpuan kepada perkembangan dan liputan 5G di Kelantan, khususnya dalam memperluaskan manfaat capaian internet berkelajuan tinggi kepada rakyat.

Katanya, usaha itu juga penting bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital negeri.

"Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh ekosistem digital serta memastikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi dapat bergerak seiring dengan keperluan ekonomi dan masyarakat."

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Seminar Pemerkasaan 5G di Kelantan dan Pameran 5G, Digital, Sains dan Teknologi Kelantan 2026 di Dewan Konvensyen KTC, di sini, hari ini.

Dato' Wan Roslan turut memaklumkan, liputan rangkaian 5G di Kelantan ketika ini telah mencapai lebih 87 peratus, termasuk capaian di dalam dan luar bangunan.

"Rangkaian 5G ini mendapat sambutan dan capaian internet berkelajuan tinggi dapat disempurnakan dengan capaian setakat ini yang dimaklumkan melebihi 87 peratus," jelasnya.

Tambahnya, teknologi 5G bukan sahaja menawarkan capaian internet lebih pantas dan stabil, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, perniagaan, pertanian, industri, perkhidmatan awam dan pembangunan bandar pintar.

Sehubungan itu katanya, kerjasama erat antara kerajaan, agensi, pemain industri, institusi pendidikan serta masyarakat amat penting bagi memastikan transformasi digital di Kelantan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, selain memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berharap seminar dan pameran berkenaan menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman mengenai teknologi baharu, merancakkan kolaborasi industri serta membuka lebih banyak peluang pelaburan dan inovasi digital di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!