Malaysia perlu bina acuan sendiri, bebas pengaruh penjajah – Dato’ Mohd Amar
-
18 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
32
KOTA BHARU, 18 Ogos - Malaysia perlu membina acuan pembangunan negara sendiri dan membebaskan pemikiran masyarakat daripada pengaruh serta kesan penjajahan yang masih wujud meskipun negara telah mencapai kemerdekaan secara fizikal.
Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah berkata, kemerdekaan tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut berakhirnya penjajahan fizikal, sebaliknya turut merangkumi kebebasan pemikiran dan kemampuan masyarakat membentuk negara berdasarkan identiti serta nilai sendiri.
“Dari segi undang-undang, kita sudah merdeka kerana penjajah secara fizikalnya sudah keluar. Tetapi isu yang paling besar ialah kita sebenarnya tidak merdeka sepenuhnya dari sudut pemikiran.
“Walaupun penjajah telah keluar, pemikiran, ajaran dan cara kita masih boleh terikut-ikut dengan apa yang diajar oleh penjajah. Inilah antara cabaran besar yang disebut sebagai cabaran pemikiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu siaran lansung slot FOKUS Siri 14: Erti Kemerdekaan Yang Sebenar, anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Studio Kelantan TV, di sini, hari ini.
Menurutnya, kesan penjajahan bukan sesuatu yang mudah untuk dihapuskan kerana ia boleh terus mempengaruhi masyarakat dalam tempoh yang panjang, termasuk dari aspek pendidikan, ekonomi, bahasa dan cara negara disusun.
“Penjajah ini tidak keluar dengan mudah dan apabila dia keluar, dia sudah merasa yakin bahawa orang yang ditinggalkan masih lagi terikat dengan mereka. Masih ada kesan dan kita masih bergantung kepada apa yang diajarkan,” jelasnya.
Dato’ Mohd Amar berkata, keadaan tersebut bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dapat dilihat di negara-negara lain yang pernah melalui pengalaman penjajahan.
Sebagai contoh, katanya, pengaruh penjajahan masih dapat dilihat dalam penggunaan bahasa dan sistem pendidikan sesetengah negara meskipun penjajahan secara fizikal telah lama berakhir.
“Bagi kita pun, apabila penjajah keluar, kita menyusun negara ini mengikut acuan mereka, cara kita menyusun ekonomi dan pendidikan.
“Walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, penggunaan dan pengaruh bahasa Inggeris masih kuat. Ini salah satu contoh kesan cabaran pemikiran yang banyak melanda negara-negara termasuk kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kemerdekaan dari sudut agama membawa pengertian yang lebih luas, iaitu manusia bebas daripada fahaman dan cara hidup yang bercanggah dengan syariah serta mengatur kehidupan berdasarkan kehendak Tuhan.
“Manusia yang merdeka ialah manusia yang mengatur hidupnya mengikut kehendak Tuhan dan tidak melanggar ajaran agama,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kemerdekaan sebenar perlu diteruskan dengan usaha membebaskan masyarakat daripada pengaruh pemikiran yang tidak selari dengan identiti, nilai dan prinsip negara.







