Malaysia hampir 70 tahun merdeka, Bahasa Melayu belum berdaulat sepenuhnya – Dato’ Mohd Amar
-
18 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
36
KOTA BHARU, 18 Ogos - Malaysia yang hampir mencapai 70 tahun kemerdekaan masih berdepan cabaran dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang benar-benar berdaulat dalam kehidupan masyarakat dan urusan negara.
Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah berkata, keadaan tersebut antara contoh yang menunjukkan kesan penjajahan pemikiran masih wujud meskipun negara telah lama mencapai kemerdekaan secara fizikal.
“Hampir 70 tahun kita merdeka, Bahasa Melayu ini tidak berdaulat sepenuhnya. Sehingga dikritik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta pakar-pakar bahasa kerana kita lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu siaran langsung slot FOKUS Siri 14: Erti Kemerdekaan Yang Sebenar, anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Studio Kelantan TV, hari ini.
Menurutnya, penggunaan istilah dan bahasa asing dalam pelbagai aspek kehidupan menunjukkan masyarakat masih cenderung menjadikan acuan Barat sebagai ukuran, sedangkan Malaysia mempunyai bahasa kebangsaan dan identiti sendiri.
Katanya, perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana bahasa bukan sekadar medium komunikasi, malah menjadi sebahagian daripada identiti serta jati diri sesebuah bangsa dan negara.
“Ini masalah kita. Kita sudah merdeka hampir 70 tahun, tetapi kita lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. Istilah-istilah pun banyak yang kita ambil daripada Barat,” ujarnya.
Dato’ Mohd Amar berkata, pengukuhan Bahasa Melayu perlu menjadi sebahagian daripada usaha membebaskan masyarakat daripada penjajahan pemikiran yang masih mempengaruhi cara berfikir dan kehidupan selepas berakhirnya penjajahan fizikal.
Beliau turut mengambil contoh penggunaan istilah dalam penamaan tempat dan kawasan yang menurutnya boleh disesuaikan dengan istilah Bahasa Melayu bagi memperkukuh identiti tempatan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu bermula daripada kesedaran politik dan kepimpinan negara kerana pemimpin mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju bahasa, pendidikan dan identiti masyarakat.
“Dalam politik, perkara ini asas nombor satu. Sebab itu pemimpin politik mesti ada peranan yang besar,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh pengalaman Indonesia yang menurutnya lebih tegas dalam memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan selepas negara itu mencapai kemerdekaan, termasuk dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.
Menurutnya lagi, penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia penting bagi membentuk identiti bersama sebagai warga negara.
“Identiti bangsa kita dan identiti kita ini adalah sebagai warga negara Malaysia. Jadi bahasa juga menjadi antara perkara penting dalam membentuk identiti tersebut,” katanya.
Tambahnya, kemerdekaan yang sebenar tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan fizikal tetapi turut menuntut masyarakat membebaskan pemikiran, bahasa, sistem pendidikan dan acuan pembangunan daripada kebergantungan kepada pengaruh asing.







