Accessibility Tools

Skip to main content

Jelajah KALA 2026 angkat warisan perkampungan nelayan

  • 18 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 36

KOTA BHARU, 18 Ogos - Jelajah KALA 2026 yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos ini di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, mengangkat tema ‘Warisan Perkampungan Nelayan’ dalam usaha mengetengahkan warisan masyarakat nelayan selain memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KALA Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata program berkenaan dianjurkan PKINK dengan kerjasama Koperasi Warisan Kampung Laut Berhad.

Katanya, Jelajah KALA 2026 dijangka menarik antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung selain menghimpunkan 64 usahawan tempatan serta pelbagai agensi kerajaan.

“Program ini menggabungkan elemen keusahawanan, pelancongan, kebudayaan dan kemasyarakatan dalam satu platform.

“Antara pengisian yang disediakan termasuk jualan usahawan, pameran warisan nelayan, bengkel keusahawanan TikTok dan AI, program keagamaan, sukan rakyat, pertandingan keluarga, Fun Walk Warisan, Konvoi Merdeka serta persembahan kesenian dan kebudayaan."

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pra Pelancaran Jelajah KALA 2026 di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), hari ini.

Katanya lagi, pemilihan Pantai Sri Tujoh sebagai lokasi program bersesuaian dengan tema ‘Warisan Perkampungan Nelayan’ selain kawasan berkenaan mempunyai persatuan nelayan dan jumlah nelayan yang ramai.

Menurutnya, program berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk seperti ikan bekok, serondeng dan gelembung buaya yang menjadi antara produk kegemaran masyarakat.

“Program ini mendapat sambutan luar jangkaan daripada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka,” katanya.

Dato' Wan Roslan memaklumkan program akan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga tengah malam dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, kesenian dan keagamaan.

Katanya, dua tokoh agama Ustaz Mokhtar Yaakob dan Ustaz Dusuki Rani, turut diundang bagi memenuhi acara keagamaan sempena Jelajah KALA 2026.

“Antara tarikan kepada orang ramai ialah program keagamaan yang menampilkan dua tokoh berkenaan selain persembahan kesenian masyarakat Tumpat membabitkan masyarakat Siam, India, Cina dan Melayu.

“Masyarakat Siam akan mempersembahkan gedombak Siam, manakala masyarakat Melayu pula dengan persembahan dikir barat,” jelasnya.

Tambahnya, program itu turut diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-69 bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan masyarakat.

Beliau optimis, Jelajah KALA 2026 berpotensi menjadi platform untuk mempromosikan Tumpat sebagai destinasi pelancongan komuniti dan warisan yang unik.

“Saya menyeru seluruh rakyat Kelantan dan masyarakat luar supaya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Jelajah KALA 2026 serta bersama-sama menyokong usahawan tempatan dan industri pelancongan negeri,” katanya.

Pautan berjaya disalin!