Accessibility Tools

Skip to main content

PMBK lancar tadbir urus syariah korporat dalam membuat segala keputusan

  • 18 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 33

KOTA BHARU, 18 Ogos - Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan kumpulannya melancarkan Polisi Tadbir Urus Syariah sebagai kerangka panduan dalam membuat keputusan berkaitan pentadbiran, pelaburan dan perniagaan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin  Daud berkata polisi berkenaan melengkapkan usaha memperkukuh prinsip dan nilai syariah dalam operasi, pengurusan serta pentadbiran PMBK dan kumpulannya.

Menurutnya, penggubalan polisi itu adalah antara perkara yang disyorkan selepas penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah PMBK pada 19 Jun 2023.

“Polisi ini menjadi pelengkap yang menyempurnakan rumah yang telah kita bina bersama. Ibarat kita membina sebuah rumah agam, asasnya telah kita pasakkan dengan kukuh, sesuai dengan keluasan tanah dan kemampuan yang kita miliki.

“Setelah lebih 30 tahun kita mendiami rumah ini, sudah tentu ada ruang dan sudut yang perlu ditambah baik, diperindah dan diperkemaskan."

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Syariah 2026: Penghayatan Membangun Bersama Islam: Pemerkasaan Syariah Dalam Tadbir Urus Korporat serta Pelancaran Polisi Tadbir Urus Syariah PMBK dan Kumpulan, di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana di sini, hari ini.

Jelasnya, dasar Membangun Bersama Islam yang diletakkan sejak awal pentadbiran pada 1990 turut memberi impak positif kepada warga kerja kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju dan membuat sesuatu keputusan.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberikan penekanan terhadap pembangunan yang seimbang antara aspek fizikal dan rohani bagi memastikan kemajuan negeri mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga teras utama yang perlu dilaksanakan semua agensi, khususnya PMBK dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain yang menjadi penggerak serta pemacu sektor ekonomi negeri.

“Teras pertama ialah pematuhan syariah. Semua bentuk pelaburan, transaksi, instrumen kewangan dan kontrak perniagaan perlu disaring oleh panel syariah yang sah.

“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur riba, gharar (ketidakpastian) atau aktiviti yang meragukan,” katanya.

Ujarnya, teras kedua ialah kompetensi kepimpinan bertunjangkan nilai amanah, dengan Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan tertinggi sebagai pemegang amanah rakyat.

Katanya lagi, setiap keputusan strategik perlu bermatlamat menjaga kemaslahatan ummah, mengelakkan pembaziran serta memaksimumkan pulangan yang halal dan berkat.

“Teras ketiga ialah integriti dan akauntabiliti. Tadbir urus yang baik adalah asas pengurusan yang berintegriti.

“Kecekapan pengurusan, ketelusan tender dan pembudayaan sifar rasuah mestilah menjadi identiti mutlak setiap pekerja korporat negeri,” katanya.

Menteri Besar turut menyeru barisan kepimpinan PMBK dan Kumpulan serta kepimpinan korporat negeri supaya memperbaharui tekad bagi membuktikan model korporat berteraskan syariah mampu menjadi lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berkat.

Beliau juga menegaskan semua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan PMBK perlu berganding bahu menjayakan agenda syariah serta menghormati, mematuhi dan melaksanakan pandangan serta nasihat Jawatankuasa Penasihat Syariah dalam dasar operasi syarikat.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan YB Tuan Zawawi Ghazali, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan,YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK Dr. Mohd Zulkufli Zakaria dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato' Bentara Setia (IPTG)  Profesor Emeritus Dato' Dr. Johari Mat.

Pautan berjaya disalin!