Dapur Hijau galak masyarakat hasilkan makanan organik
-
19 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
37
KOTA DARULNAIM, 19 Ogos – Program Dapur Hijau Peringkat Parlimen Pasir Puteh menggalakkan masyarakat membudayakan amalan bercucuk tanam di sekitar kediaman sebagai langkah ke arah kehidupan lebih sihat dan berdikari dalam aspek penghasilan makanan organik.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berkenaan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai amalan pertanian organik yang mudah, praktikal serta sesuai dilaksanakan walaupun di kawasan yang mempunyai ruang terhad.
Menurutnya, sebanyak 160 peserta menerima set pemula tanaman Kit Dapur Hijau sebagai galakan untuk memulakan aktiviti bercucuk tanam di sekitar rumah masing-masing.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dapur Hijau Peringkat Parlimen Pasir Puteh di Dataran Sungai Gaal pada 17 Ogos.
"Program ini memberi fokus kepada golongan suri rumah, beliawanis dan asnaf dengan memperkenalkan pendekatan pertanian yang boleh dilaksanakan secara mudah dalam kehidupan seharian.
"Selain itu, Dapur Hijau memberi penekanan kepada aktiviti menanam sayur-sayuran, sebaliknya turut membawa mesej penting dalam membudayakan kehidupan yang lebih sihat melalui penghasilan makanan sendiri secara organik," katanya dalam media sosial, semalam.
Beliau juga yakin amalan tersebut dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dapur apabila masyarakat berupaya menghasilkan sebahagian keperluan makanan secara sendiri di kawasan kediaman.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Jaafar.







