Kelantan perluas manfaat 5G, bangunkan ekosistem digital
-
19 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
32
KOTA BHARU, 19 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat memperluaskan pembangunan infrastruktur 5G di negeri ini supaya kawasan luar bandar, pedalaman, industri, pusat pendidikan, pelancongan dan pusat pertumbuhan ekonomi turut menerima manfaat peningkatan teknologi digital.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pendekatan pembangunan 5G tidak boleh bersifat satu saiz untuk semua, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan sebenar setiap kawasan berdasarkan bentuk muka bumi, taburan penduduk dan struktur ekonomi negeri itu.
Katanya, aspek keterangkuman amat penting bagi memastikan tidak berlaku jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, khususnya dalam akses kepada pendidikan digital serta peluang ekonomi.
“Kita tidak mahu anak-anak di kawasan pedalaman ketinggalan dari segi pendidikan digital.
“Kita tidak mahu usahawan kecil di daerah-daerah tidak mendapat peluang menggunakan teknologi untuk mengembangkan perniagaan.
“Dan kita tidak mahu pelabur melihat kekurangan infrastruktur digital sebagai salah satu faktor yang mengehadkan pelaburan ke negeri ini."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan 5G di Kelantan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), di sini semalam.
Menurutnya, pembangunan 5G perlu dilihat sebagai infrastruktur asas kepada pembangunan ekonomi moden, sama seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang diperlukan bagi menyokong pembangunan fizikal.
“Saya mahu melihat Kelantan bergerak daripada sekadar menyediakan perhubungan kepada pembangunan digital ekosistem tetapi perlu mempunyai lebih banyak syarikat teknologi.
“Kita perlu melahirkan lebih ramai anak muda yang mempunyai kemahiran digital dan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana menggunakan teknologi.
“Kita perlu menarik pelaburan dalam bidang data centre, cloud computing, AI, IoT dan perkhidmatan digital,” jelasnya.
Tambahnya, infrastruktur telekomunikasi yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi digital juga perlu dibangunkan seiring dengan usaha berkenaan.
Beliau menyeru kerjasama antara Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), syarikat berkaitan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri demi memastikan pembangunan itu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita mesti bergerak sebagai satu ekosistem,” katanya.
Mengulas tentang Seminar Pemerkasaan 5G di Kelantan, beliau berharap seminar berkenaan tidak berakhir sekadar pembentangan dan perbincangan, sebaliknya menghasilkan tindakan yang jelas untuk pembangunan 5G di Kelantan.
Katanya, lima perkara perlu diberi perhatian, iaitu mengenal pasti jurang 5G yang masih perlu ditutup di Kelantan, menentukan projek ekonomi yang boleh dibangunkan berasaskan 5G, mempercepatkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi, menarik pelaburan teknologi ke negeri itu serta memastikan rakyat Kelantan, khususnya anak muda, menjadi penerima manfaat utama ekonomi digital.
“Jika lima persoalan ini dapat kita jawab dengan tindakan, maka seminar ini telah mencapai objektifnya,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzzaman Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dato' Sr. Zamri Ismail, Setiausaha Bahagian Pembudayaan Dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Abdullah Daud serta Ketua Pegawai Operasi Infra Quest Sdn Bhd Saiful Adli Abu Bakar.







