Accessibility Tools

Skip to main content

Sambutan kemerdekaan perlu sarat pengisian sejarah, bina jati diri rakyat – Dato’ Mohd Amar

  • 19 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 55

KOTA BHARU, 19 Ogos - Sambutan kemerdekaan di sekolah, pejabat kerajaan, agensi serta pelbagai institusi perlu sarat dengan pengisian sejarah negara secara berterusan bagi membina kesedaran, jati diri dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.

Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah berkata, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos seharusnya menjadi kemuncak kepada penghayatan kemerdekaan yang telah dibina lebih awal, bukannya satu-satunya masa untuk masyarakat mengingati sejarah negara.

“Cara sambut merdeka yang kita buat ini tidak sepatutnya berlaku pada hari itu sahaja. Pengisian kemerdekaan ini bukan sehari. 31 Ogos itu kemuncak, tetapi pengisian perlu berlaku lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Live FOKUS Siri 14: Erti Kemerdekaan Yang Sebenar anjuran Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Studio Kelantan TV, di sini, semalam.

Menurutnya, pendidikan khususnya di sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan generasi muda memahami sejarah perjuangan negara serta pengorbanan generasi terdahulu dalam membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Katanya, pengetahuan sejarah bukan sekadar untuk mencapai keputusan akademik, sebaliknya penting dalam membentuk kesedaran dan jiwa kecintaan kepada negara.

“Sejarah ini penting kerana ia membina jati diri kita. Bila kita tahu bagaimana susur galur kita, kita pernah dijajah oleh bangsa itu dan bangsa ini, serta bagaimana nenek moyang kita berjuang membebaskan negara, ia membina kesedaran dan kemudian membina jiwa,”ujarnya.

Dato’ Mohd Amar berkata, pendekatan pendidikan perlu memberi perhatian kepada aspek pembentukan jati diri selain pencapaian akademik kerana generasi muda perlu memahami latar sejarah negara untuk menghayati makna kemerdekaan.

Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan terhadap generasi baharu termasuk Gen Z perlu disesuaikan dengan karakter dan kreativiti mereka tanpa menyalahkan generasi tersebut kerana mempunyai cara berfikir serta pendekatan yang berbeza.

“Kita tidak salahkan generasi baharu. Mereka mempunyai cara yang berbeza dan kreatif. Tetapi fokus kita selama ini banyak kepada akademik, pencapaian dan keputusan,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan supaya pengisian sambutan kemerdekaan di sekolah, pejabat kerajaan dan agensi tidak terlalu tertumpu kepada aspek hiburan, sebaliknya diseimbangkan dengan program yang dapat meningkatkan kesedaran sejarah, semangat patriotik dan kecintaan kepada negara.

Menurutnya lagi, semangat cintakan negara perlu dibina sehingga menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat dan bukan hanya ditunjukkan ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Dato’ Mohd Amar turut mengambil contoh Indonesia yang mempunyai semangat patriotik yang lebih sebati dalam kehidupan rakyat hasil penekanan terhadap identiti dan sejarah negara.

Beliau menegaskan, usaha berterusan melalui pendidikan dan pengisian kemerdekaan mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja mengetahui sejarah negara, bahkan memahami nilai pengorbanan terdahulu serta menghargai kemerdekaan yang dinikmati hari ini.

Pautan berjaya disalin!