K-Rabb perkasa peranan masjid, tangani gejala sosial
-
19 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
48
KOTA DARULNAIM, 19 Ogos – Inisiatif Komuniti Rabbani (K-Rabb) merupakan usaha penting dalam membina semula nilai kehidupan masyarakat serta memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti bukan sekadar tempat melaksanakan ibadah khusus.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Saizol Ismail berkata, gejala sosial merupakan antara cabaran yang wujud dalam masyarakat dan tidak terkecuali berlaku di Kelantan, justeru usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menangani ancaman berkenaan secara menyeluruh.
Menurutnya, masalah sosial yang berpunca daripada kelemahan nilai dan penghayatan agama sekiranya tidak ditangani boleh berkembang menjadi masalah lebih besar sehingga menjejaskan keharmonian serta sistem kehidupan masyarakat.
“Gejala sosial dan masalah dalam masyarakat jika dibiarkan, akhirnya menjadi barah yang merosakkan sistem masyarakat.
“Kita tidak pernah menafikan perkara ini wujud di setiap negeri, hatta Kelantan sekalipun. Namun, yang penting ialah apakah usaha dan ikhtiar kita dalam menghadapi ancaman ini,” katanya di media sosial, semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis K-Rabb yang berlangsung di Masjid Assaadah, Mukim Beta Hulu pada 16 Ogos.
Dalam pada itu, YB Saizol merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas usaha menyediakan solusi menerusi pendekatan pembangunan komuniti berteraskan nilai agama dan pembinaan insan.
Katanya, modul K-Rabb diharap dapat membantu membina semula nilai-nilai kehidupan masyarakat, di samping menghidupkan dan membangunkan semula komuniti melalui pengimarahan masjid.







