YB Mohd Asri titip doa, pesan jaga solat buat atlet memanah Kelantan
-
19 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
40
KOTA DARULNAIM, 19 Ogos - Atlet memanah Kelantan yang beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diingatkan supaya menjaga solat dan mengutamakan disiplin agama sepanjang menyertai kejohanan berkenaan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud berkata, aspek kerohanian perlu diberi perhatian seiring dengan usaha atlet memberikan prestasi terbaik dalam setiap pertandingan.
Beliau yang juga Bapa Angkat kepada pasukan memanah Kelantan sempena SUKMA Selangor 2026 berkata, setiap atlet disaran memulakan perlawanan dengan membaca Bismillah serta sentiasa memohon doa agar dipermudahkan segala urusan.
“Saya berpesan kepada anak-anak pemanah yang mewakili Kelantan agar memulakan setiap perlawanan dengan ‘Bismillah’ dan menjaga solat.
“Begitu juga sentiasa menghubungi ibu bapa sepanjang pemusafiran menyertai SUKMA Selangor ini,” katanya di laman rasmi beliau, semalam.
Dalam pada itu, YB Mohd Asri turut meluangkan masa meraikan pemain dan pengurusan pasukan memanah Kelantan di Salam Noodles, Kota Warisan, Sepang, sebagai tanda sokongan terhadap kontigen negeri, semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan para jurulatih yang memainkan peranan dalam membimbing dan menjaga kebajikan para atlet.
“Terima kasih kepada Coach Razak selaku Ketua Jurulatih, Cikgu Wan Penolong Jurulatih, Encik Kamarul selaku Pengurus Pasukan dan jurulatih-jurulatih MSN termasuk chef yang dibawakan khas dari Kelantan untuk menjaga pemakanan pemain sepanjang perlawanan,” katanya.
Menurutnya, pasukan memanah Kelantan telah mencatat pencapaian awal dengan memenangi satu pingat gangsa selepas dua hari pertandingan, sekali gus membuka peluang untuk terus menambah koleksi pingat dalam baki empat hari kejohanan.
“Setakat dua hari perlawanan, pasukan memanah telah memenangi satu pingat gangsa dan masih berbaki empat hari lagi perlawanan.
“Insya Allah sama-sama kita doakan akan ada pingat emas yang diperolehi daripada pasukan memanah Kelantan, biznillah,”ujarnya.
Beliau berharap seluruh pasukan terus mengekalkan semangat juang, disiplin serta keyakinan bagi menghadapi baki saingan dan seterusnya merealisasikan sasaran membawa pulang pingat emas buat Kelantan.







