Accessibility Tools

Skip to main content

5G buka peluang ekonomi luas untuk Kelantan

  • 19 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 41

KOTA BHARU, 19 Ogos - Teknologi 5G membuka peluang ekonomi yang luas kepada Kelantan, khususnya dalam sektor pertanian, pembuatan, pendidikan, kesihatan dan pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dato' Sr. Zamri Ismail berkata, teknologi berkenaan boleh menjadi pemangkin kepada penciptaan nilai serta kekayaan baharu untuk rakyat Kelantan, selain membuka ruang kepada generasi muda mencipta pekerjaan dan perniagaan baharu tanpa semestinya berhijrah keluar dari negeri itu.

“Dalam sektor pertanian, teknologi 5G boleh menyokong pertanian pintar melalui sensor, pemantauan tanaman dan penggunaan data masa nyata.

“Dalam sektor pembuatan pula, 5G boleh menyokong automasi, robotik dan pemantauan operasi."

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis perasmian Seminar Pemerkasaan 5G di Kelantan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, semalam.

Menurut Dato' Zamri, dalam bidang pendidikan, teknologi 5G berpotensi memperluaskan pembelajaran digital dan akses kepada kandungan berkualiti, manakala dalam sektor kesihatan ia boleh membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan jarak jauh serta penggunaan teknologi pintar.

“Dalam pelancongan pula, teknologi digital boleh mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih interaktif dan pintar.

“Dan yang paling penting, 5G boleh membantu anak-anak Kelantan mencipta pekerjaan dan perniagaan baharu tanpa semestinya berhijrah keluar dari negeri ini,” jelasnya.

Menurutnya, pembangunan 5G memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak berkuasa tempatan, pemilik infrastruktur, syarikat telekomunikasi, pemaju, institusi pendidikan dan pemain industri.

Ujarnya, proses pembangunan infrastruktur telekomunikasi juga perlu dilaksanakan dengan lebih cekap supaya perkembangan teknologi tidak terhalang oleh proses pembangunan yang terlalu panjang.

“Kelajuan teknologi tidak seharusnya bertembung dengan proses pembangunan yang terlalu panjang.

“Sekiranya kita mahu Kelantan menjadi negeri yang kompetitif dalam ekonomi digital, maka infrastruktur digital perlu dapat dibangunkan dengan cepat, terancang, bersepadu dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat milik kerajaan negeri dan pemain industri memainkan peranan sebagai pemudah cara, bukan sekadar pemilik aset.

Pautan berjaya disalin!