Generasi muda perlu dikuasai ilmu agama, hadapi cabaran semasa - MB Kelantan
-
19 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
29
KOTA BHARU, 19 Ogos – Generasi muda perlu menguasai ilmu agama secara mendalam dan berasaskan sumber yang sahih bagi menghadapi cabaran semasa, terutama dalam mendepani pelbagai tafsiran terhadap Islam, hukum dan perundangan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kefahaman agama tidak seharusnya dibentuk hanya berdasarkan petikan ayat al-Quran atau hadis secara terpisah tanpa memahami konteks, tafsir dan disiplin ilmu berkaitan.
“Allah memberikan kebaikan kepada seseorang dengan memberinya kefahaman yang mendalam dalam agama. Bukan sekadar faham secara mendatar, tetapi faham dengan sungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali Siri Ke-18 di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Bandar Baharu Tunjong, di sini, hari ini.
Menurutnya, penguasaan ilmu yang kukuh semakin penting ketika masyarakat berhadapan dengan cabaran pemikiran dan kepelbagaian tafsiran berkaitan agama yang memerlukan penelitian berdasarkan disiplin ilmu yang tepat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar supaya mendalami ilmu tafsir bagi memahami ayat al-Quran dan hadis secara menyeluruh termasuk konteks penggunaan sesuatu istilah yang boleh membawa makna berbeza.
Dalam pada itu, Dato' Mohd Nassuruddin berkata, ilmu perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan serta dituntut dengan niat yang betul kerana fungsinya bukan sekadar memberikan pengetahuan, malah membimbing manusia membezakan antara kebenaran dengan kebatilan serta kebaikan dengan keburukan.
“Perkara pertama yang kita kena betulkan ialah niat. Kita menuntut ilmu kerana Allah dan mencari keredaan-Nya, bukan semata-mata untuk mendapatkan matlamat dunia,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan, nilai ilmu mengatasi harta kerana ilmu menjadi panduan dan pelindung kepada manusia sepanjang kehidupan.
“Ilmu menunjukkan kepada kita mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang benar dan mana yang salah. Ilmu membantu menjaga kita, tetapi harta pula kita yang perlu menjaganya,” ujarnya.
Mengambil ketokohan Imam Al-Ghazali sebagai teladan, beliau berkata kemiskinan dan status sebagai anak yatim tidak menghalang tokoh berkenaan mencapai kedudukan tinggi dalam dunia keilmuan sehingga dikenali sebagai Hujjatul Islam serta menjadi rujukan dalam bidang fiqah, tasawuf, akidah dan falsafah.
Justeru, beliau menegaskan faktor kemiskinan atau latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk memperoleh pendidikan.
Menurutnya, pelbagai bentuk bantuan pendidikan disediakan melalui YIK, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Kerajaan Negeri menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain bagi membantu pelajar yang memerlukan.
Beliau turut menyeru penerima Skim Bantuan Imam Al-Ghazali supaya memanfaatkan peluang pendidikan sebagai satu amanah dengan belajar bersungguh-sungguh sebelum menyumbangkan kembali ilmu kepada agama, masyarakat dan negeri.
Skim Bantuan Imam Al-Ghazali yang disalurkan melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) merupakan inisiatif sokongan pendidikan kepada pelajar terpilih daripada sekolah kelolaan YIK, khususnya mereka yang mempunyai potensi akademik dan memerlukan bantuan kewangan.
Menurut PMBK, skim yang memasuki tahun ke-18 itu telah memberi manfaat kepada 2,200 pelajar sepanjang tempoh 2009 hingga 2025 dengan nilai keseluruhan sumbangan dianggarkan RM1.9 juta.
Jumlah penerima turut meningkat daripada 50 pelajar bagi setiap sesi pada 2009 kepada 75 pelajar mulai 2014 dan seterusnya 100 pelajar mulai 2023. Kadar bantuan pula dinaikkan kepada RM100 sebulan mulai 2024.
Dato' Mohd Nassuruddin berharap bantuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi membolehkan penerima mencapai kecemerlangan pendidikan serta menjadikan ilmu sebagai bekalan membina kehidupan dan memberi manfaat kepada ummah.







