Accessibility Tools

Skip to main content

2,200 pelajar terima manfaat Skim Bantuan Imam Al-Ghazali sejak 2009

  • 19 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 35

KOTA BHARU, 19 Ogos – Sebanyak 2,200 pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menerima manfaat Skim Bantuan Imam Al-Ghazali sejak diperkenalkan pada 2009 hingga 2025 dengan nilai keseluruhan sumbangan dianggarkan RM1.9 juta, mencerminkan komitmen berterusan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dalam menyokong pendidikan pelajar berpotensi cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menurut kenyataan media PMBK, skim tanggungjawab sosial yang kini memasuki siri ke-18 itu terus diperluas dari semasa ke semasa, termasuk melalui pertambahan jumlah penerima serta peningkatan kadar bantuan bulanan.

“PMBK sebagai sebuah agensi kerajaan bertanggungjawab untuk membantu pelajar-pelajar yang mempunyai potensi cemerlang dalam akademik tetapi kurang berkemampuan. Dengan adanya bantuan seumpama ini, diharapkan ia dapat membantu mereka mencapai keputusan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.

Skim Bantuan Imam Al-Ghazali dilancarkan pada 27 Mei 2009 oleh Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menyasarkan pelajar terpilih daripada sekolah kelolaan YIK yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Pada peringkat awal, seramai 50 pelajar dipilih bagi setiap sesi sebelum jumlah itu ditingkatkan kepada 75 pelajar mulai 2014 dan seterusnya diperluas kepada 100 pelajar bagi setiap sesi mulai 2023.

Bantuan diberikan selama dua tahun kepada setiap pelajar terpilih sebelum penerima baharu dipilih selepas kumpulan terdahulu menamatkan pengajian di Tingkatan Lima.

Kadar bantuan bulanan turut ditambah baik daripada RM50 kepada RM80 mulai 2019 sebelum dinaikkan kepada RM100 sebulan mulai 2024 yang dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

Bagi Siri ke-18 tahun ini, seramai 100 pelajar YIK menerima manfaat skim berkenaan sebagai kesinambungan usaha membantu mereka meneruskan pembelajaran dalam keadaan lebih kondusif.

Pada majlis sama, lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 turut menerima Sumbangan Kecemerlangan SPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.

Sokongan pendidikan itu turut diperluas kepada aspek keperluan pembelajaran apabila sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi membiayai penyediaan cermin mata kepada 200 pelajar YIK.

Pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif berkenaan memperlihatkan pendekatan menyeluruh PMBK dalam membantu pelajar, merangkumi sokongan kewangan berterusan, pengiktirafan kecemerlangan akademik serta pemenuhan keperluan asas yang berkaitan dengan proses pembelajaran.

Pautan berjaya disalin!