Warga emas perlu jadi sumber rujuk masyarakat
-
20 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
54
KOTA DARULNAIM, 20 Ogos – Warga emas merupakan golongan yang perlu dijadikan sumber rujuk masyarakat dan disantuni atas faktor khazanah pengalaman dan nasihat mereka yang mampu menyumbang kepada keluarga serta komuniti.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, komitmen warga emas untuk terus aktif dalam pelbagai program membuktikan usia bukan penghalang untuk mereka terus berbakti dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, penglibatan warga emas dalam aktiviti kesihatan, kerohanian, kebajikan, rekreasi dan kemasyarakatan juga penting dalam memastikan golongan berkenaan terus menjalani kehidupan yang bermakna serta saling menjaga kebajikan sesama ahli.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di media sosialnya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Krai Kali Ke-6 di Pusat Aktiviti Warga Emas Kubang Lebur, Kuala Krai, semalam.
YB Hilmi menegaskan, PAWE perlu terus menjadi medan untuk warga emas berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada generasi muda melalui ilmu agama, kemahiran, aktiviti sukarelawan, kebajikan serta nasihat kehidupan.
Menurutnya, pengalaman yang dimiliki warga emas merupakan aset yang bernilai dan boleh dimanfaatkan untuk membimbing generasi seterusnya dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Sesungguhnya warga emas bukan sekadar golongan yang perlu disantuni, bahkan mereka adalah khazanah pengalaman, sumber nasihat dan tonggak yang masih mampu menyumbang kepada keluarga serta masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan warga emas supaya sentiasa menjaga kesihatan agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih aktif serta melaksanakan ibadah dan tanggungjawab kemasyarakatan.
Menurutnya, semangat “Sihat Sepanjang Hayat, Sihat Untuk Beribadat” wajar dijadikan pegangan kerana kesihatan yang baik memberikan kekuatan kepada warga emas untuk terus beribadah dan melakukan amal kebajikan.
“Kesihatan yang baik memberi kekuatan untuk terus solat, membaca al-Quran, hadir ke majlis ilmu, menziarahi saudara, membantu jiran dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar seluruh ahli PAWE Kuala Krai dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati serta kekuatan untuk terus berbakti kepada keluarga dan masyarakat.







