Tiga bapa tunggal, lapan pesakit kronik DUN Mengkebang terima bantuan
-
20 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
45
KUALA KRAI, 20 Ogos – Sebanyak tiga bapa tunggal dan lapan pesakit kronik di DUN Mengkebang menerima bantuan sekali beri menerusi pendekatan kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan yang terus diperluas bagi memenuhi keperluan golongan yang memerlukan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata, pendekatan tersebut memperlihatkan kecaknaan Kerajaan Negeri dalam menyediakan program kebajikan secara lebih menyeluruh, termasuk kepada golongan bapa tunggal yang menguruskan anak-anak secara bersendirian selepas kehilangan pasangan.
Menurutnya, pengenalan Skim Bapa Tunggal 2026 merupakan bantuan one-off terbaharu yang disediakan Kerajaan Negeri pada tahun ini selepas sebelum ini tumpuan bantuan kebajikan lebih banyak diberikan kepada golongan armalah.
“Kerajaan Negeri menyediakan program kebajikan secara komprehensif. Kalau sebelum ini program kebajikan dilihat tertumpu kepada armalah, pada tahun ini satu bantuan one-off terbaharu disediakan untuk golongan bapa melalui Skim Bapa Tunggal 2026,” katanya di media sosialnya selepas menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada penerima di DUN Mengkebang, semalam.
Menurutnya, tiga penerima bapa tunggal di DUN Mengkebang menerima insentif berkenaan dengan jumlah RM500 seorang, manakala jumlah bantuan tertinggi yang diterima adalah sebanyak RM1,100.
Pada masa sama, seramai lapan pesakit kronik di DUN Mengkebang turut menerima bantuan secara one-off dalam usaha memastikan golongan yang berdepan keperluan kesihatan dan kewangan terus diberi perhatian.
"Kecaknaan terhadap pesakit kronik dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim, khususnya kepada mereka yang belum pernah menerima bantuan serta dalam kalangan asnaf.
“Mana-mana pesakit kronik yang belum pernah menerima bantuan dan dalam kalangan asnaf boleh mengisi borang melalui penghulu mukim masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan yang memenuhi kriteria supaya menggunakan saluran permohonan melalui penghulu mukim masing-masing bagi membolehkan permohonan bantuan dikemukakan.







