Accessibility Tools

Skip to main content

Anak muda perlu diberi peluang memimpin – Exco Belia

  • 20 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 50

KOTA DARULNAIM, 20 Ogos - Anak muda perlu diberi ruang dan peluang untuk memimpin kerana kepimpinan adalah satu proses pembelajaran yang membentuk pengalaman, kematangan dan keberanian dalam memikul tanggungjawab, kata Exco Belia, Sukan, NGO, Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad.

Katanya, golongan muda tidak seharusnya mengejar jawatan namun apabila amanah diberikan, mereka perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

“Jangan kejar jawatan tetapi apabila amanah itu diberikan, kita mesti bersedia untuk memikulnya.

“Sebab itu anak muda perlu diberi ruang untuk memimpin. Bukan kerana mereka sudah sempurna tetapi kerana kepimpinan itu sendiri adalah satu proses,” katanya di media sosial, pada Rabu.

Beliau menegaskan, proses untuk menjadi pemimpin merangkumi pembelajaran melalui pengalaman, kesilapan serta keberanian untuk mengambil tanggungjawab.

"Kesilapan yang berlaku lebih awal juga boleh menjadi ruang kepada golongan muda untuk belajar dan menjadi lebih matang sebelum berdepan dengan cabaran yang lebih besar," ujarnya.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup KFLA 2026 di The Rhu Beach Resort, Tumpat, semalam.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada seluruh peserta yang mengikuti KFLA 2026, yang disifatkan sebagai tiga hari penuh dengan pembelajaran, bimbingan dan pengalaman lapangan.

“Terima kasih juga kepada seluruh barisan mentor, assistant mentor, fasilitator dan semua pihak yang menjayakan KFLA 2026," katanya.

YB Zamakhshari turut berpesan kepada  peserta agar tidak berhenti belajar apabila program ini tamat.

"Bawa ilmu dan pengalaman itu ke tempat masing-masing, jadikan ia panduan untuk terus berkhidmat serta memberi manfaat kepada masyarakat di sekeliling,” katanya.

Beliau berharap kembara peserta sepanjang KFLA 2026 dapat menjadi wadah pembentukan generasi pemimpin pelapis yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Pautan berjaya disalin!