Kelantan utamakan hal berkaitan al-Quran
-
20 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
36
KOTA BHARU, 20 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberi keutamaan terhadap hal berkaitan al-Quran termasuk usaha memartabatkan kalamullah itu demi memastikan masyarakat mampu membaca al-Quran dengan tajwid dan makhraj yang betul.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pelbagai program termasuk penubuhan Akademi al-Quran dan Pusat Tarannum al-Quran di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Katanya, Pusat Tarannum al-Quran yang memulakan kelas pada Jun 2024 kini memasuki tahun kedua penubuhannya dengan menawarkan pengajian kepada masyarakat.
"Harapan kita ialah tidak ada rakyat Kelantan yang tidak boleh membaca al-Quran dan kalau boleh membaca al-Quran, mereka dapat membacanya dengan tajwid dan makhraj yang betul serta ke arah bertaranum dengan baik."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Daurah Antarabangsa Al-Quran dan Qiraat bersama Sheikh Prof. Dr. Ahmed Isa al-Ma'sarawi, di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, hari ini.
Menurutnya, tenaga pengajar di Pusat Tarannum al-Quran terdiri daripada tokoh yang berkemahiran dalam bidang berkenaan, antaranya Sheikh Hisham Abdul Bari Mohammed Rageh yang dinobatkan sebagai Sheikhul Qurra di Kelantan.
Katanya lagi, Sheikh Hisham turut menjadi pensyarah kehormat di pusat berkenaan bersama Datu' Hajah Faridah Mat Saman, selain Ustaz Che Yahya Daud, Ustaz Mohamad Hussin Mohamad Yunus dan Ustaz Abdul Bari Abdullah.
"Kesemua tenaga pengajar ini adalah mereka yang kita kenali dan patut kita pelajari ilmu al-Quran di bawah panduan serta bimbingan mereka.
"Jadi rugi kalau kita tidak menghadirkan diri sebagai pelajar atau membantu mempromosikan pusat ini kepada masyarakat," jelasnya.
Tambah YB Mohd Asri, pengajian di Pusat Tarannum al-Quran kini dijalankan pada setiap Jumaat dan Sabtu di Surau Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Pusat Tarannum turut membuka Kelas Pembangunan Pusat Tarannum al-Quran bagi melatih peserta qari dan qariah yang bakal bertanding di peringkat negeri dan kebangsaan, selain diharapkan dapat melangkah ke peringkat antarabangsa pada 2027.
"Ketika ini ada sepuluh qari dan sepuluh qariah yang insya Allah akan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan dan kita doakan mereka dapat ke peringkat antarabangsa pada 2027," ujarnya.
Beliau turut berharap agar masyarakat di Kelantan dapat mempromosi dan menyebar luaskan Pusat pengajian Taranum al-Quran Kelantan ini supaya diketahui oleh ramai pihak sama ada masyarakat dalam negeri kita ataupun di luar daripada Negeri Kelantan.







