ORDPB Thailand-UMK teroka potensi produk pertanian halal ke pasaran lebih luas
-
20 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
34
KOTA DARULNAIM, 20 Ogos - Office of the Royal Development Projects Board (ORDPB), Thailand dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meneroka potensi memperluas kerjasama dalam pembangunan serta pengkomersialan produk pertanian halal bagi membuka akses pasaran yang lebih luas di kedua-dua negara.
Penasihat projek ORDPB Watchara Hassapak berkata, pembangunan produk, pemprosesan, promosi pemasaran dan pendidikan standard halal antara bidang yang dikenal pasti untuk diterokai menerusi kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak.
“Objektif pertemuan hari ini adalah untuk merangka pelan kerjasama lanjut merangkumi pembangunan pertanian, pemprosesan dan pembangunan produk, promosi pemasaran serta pendidikan standard halal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jalinan Kerjasama bagi menyambut lawatan delegasi ORDPB dan Pikun Thong Royal Development Study Centre, Thailand di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, kerjasama tersebut merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertanian yang dimeterai antara ORDPB bagi pihak Pikun Thong Royal Development Study Centre dan UMK pada 15 Mei 2025.
Katanya, pemeteraian MoU berkenaan telah disusuli dengan beberapa siri pertukaran lawatan yang membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengalaman dalam pembangunan pertanian, komuniti serta bidang berkaitan.
“Pertukaran ini membolehkan Thailand dan Malaysia memajukan pembangunan bersama dalam bidang pertanian, pemprosesan makanan halal, pendidikan, alam sekitar dan pembangunan sumber manusia,” ujarnya.
Watchara berkata, antara perkembangan terbaharu ialah lawatan pelajar, staf dan wakil sektor industri UMK ke Pikun Thong Royal Development Study Centre di Narathiwat pada 4 hingga 7 Ogos lalu menerusi UMK International Cooperation Network bagi tujuan pembelajaran bersama serta khidmat sosioakademik.
Selain itu, katanya, wakil UMK turut menghadiri Pameran Tahunan Royal Development Study Centre ke-27 pada 13 Ogos lalu di Pikun Thong Royal Development Study Centre, Narathiwat, yang turut memberi peluang kepada delegasi mendapatkan maklumat serta melihat sendiri inisiatif pembangunan yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, bidang pertanian menjadi antara fokus penting UMK yang menghubungkan penyelidikan dengan inovasi, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Katanya lagi, kepakaran dan hasil penyelidikan universiti boleh dimanfaatkan bersama pengalaman Thailand dalam pembangunan pertanian dan komuniti bagi menghasilkan nilai tambah kepada sumber tempatan.
“Penyelidikan tidak sepatutnya berhenti pada penerbitan. Penyelidikan perlu menyelesaikan masalah, mencipta peluang dan yang paling penting memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, UMK turut mempunyai beberapa inovasi berasaskan produk pertanian tempatan yang menunjukkan potensi sumber tersebut untuk dikembangkan kepada produk bernilai lebih tinggi melalui gabungan pengetahuan, teknologi dan keusahawanan.
Sementara itu, Watchara berkata, kerjasama dalam bidang halal mempunyai potensi besar kerana ia melibatkan pematuhan standard dan boleh membuka ruang kepada pembangunan industri hiliran pertanian dan pasaran produk yang lebih luas.
Tambahnya, perkongsian mengenai proses pendaftaran dan pensijilan halal di Kelantan turut memberi peluang kepada delegasi Thailand memahami keperluan pasaran halal dengan lebih baik.
“Kita mahu memahami dengan lebih baik keperluan, pengalaman dan potensi pasaran halal dalam kalangan masyarakat di Selatan Thailand,” ujarnya.
Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat terus berkembang menerusi perkongsian pengetahuan, teknologi dan amalan terbaik, selain mengenal pasti bidang yang boleh dilaksanakan bersama dalam pembangunan produk serta pemasaran.
Watchara turut menegaskan hubungan baik antara Thailand dan Malaysia menjadi asas penting untuk kedua-dua negara memperluas kerjasama dalam pendidikan pertanian, alam sekitar dan pembangunan sumber manusia.







