Kelantan seimbangkan pemeliharaan HSK, pembangunan ekonomi - MB Kelantan
-
11 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
31
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan mengambil pendekatan seimbang dalam memastikan pemeliharaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan secara mampan.
Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud berkata, prinsip utama yang digunakan ialah pembangunan secara mampan iaitu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.
Menurutnya, kawasan HSK terus diurus secara mampan melalui pelaksanaan Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) serta mengikut kriteria dan petunjuk pengurusan hutan secara berkekalan.
“Selain itu, aktiviti pembalakan dilakukan secara terkawal berasaskan kaedah Reduce Impact Logging (RIL) bagi meminimumkan kerosakan kepada ekosistem hutan.
“Kerajaan negeri juga mempelbagaikan sumber ekonomi berasaskan hutan seperti ekopelancongan dan hasil hutan bukan kayu yang memberikan pulangan ekonomi tanpa menjejaskan kelestarian hutan."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Zuraidin Abdullah di Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas tahun 2026, hari ini.
YB Zuraidin mengemukakan soalan tambahan mengenai usaha kerajaan negeri memastikan keseimbangan antara pemeliharaan HSK dan pembangunan ekonomi.
Tambah Menteri Besar, program pemuliharaan, pemulihan dan penanaman semula hutan turut dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai inisiatif seperti Kempen Penghijauan Malaysia serta program penanaman pokok di kawasan terosot, pesisir pantai dan kawasan komuniti.
“Pelaksanaan program berkenaan membabitkan agensi kerajaan, swasta dan masyarakat setempat bagi mengekalkan liputan hutan negeri.
“Pendekatan ini membolehkan kerajaan negeri mengekalkan keseimbangan antara pemeliharaan sumber asli dengan pembangunan ekonomi, seterusnya memastikan kedua-duanya dapat bergerak seiring demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan ADN Dabong Ku Mohd Zaki Ku Hussin mengenai cadangan memperluaskan penggunaan teknologi moden seperti imej satelit, dron dan sistem pengawalan digital bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan serta membendung kegiatan pencerobohan HSK, Menteri Besar memaklumkan, penggunaan teknologi berkenaan membantu mengesan perubahan kawasan hutan dan kemungkinan berlaku pencerobohan dengan lebih awal.
“Maklumat yang diterima akan disahkan melalui rondaan dan pemeriksaan di lapangan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.
“Kerajaan negeri juga akan menambah baik kemudahan, kepakaran pegawai dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan khazanah hutan negeri sentiasa terpelihara,” ujarnya.








