Accessibility Tools

Skip to main content

Liputan internet terjejas akibat faktor teknikal dan persekitaran - Exco Digital

  • 11 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 31

KOTA DARULNAIM, 11 Ogos – Kualiti liputan internet dan komunikasi di sepanjang serta persekitaran Jalan Sabak, Pengkalan Chepa khususnya dari Kampung Batu Enam hingga Kampung Batu Lapan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor teknikal dan persekitaran.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, semakan yang dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kawasan berkenaan sebenarnya berada dalam lingkungan liputan internet dan komunikasi yang disediakan menerusi tiga menara telekomunikasi yang terletak kurang daripada 1.5 kilometer dari kampung-kampung tersebut.

Menurutnya, menara berkenaan menyediakan perkhidmatan selular 4G dan 5G bagi beberapa penyedia perkhidmatan termasuk Celcom, Digi, Maxis, UMobile, Unifi Mobile dan YES.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan, hari ini.

Dalam pada itu, Dato' Wan Roslan memaklumkan, kewujudan liputan tidak semestinya menjamin tahap kualiti perkhidmatan yang sama di setiap lokasi kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kekuatan dan kestabilan isyarat internet serta komunikasi.

"Antara faktor yang dikenal pasti ialah kepadatan kapasiti rangkaian yang boleh memberi kesan terhadap kualiti perkhidmatan, selain jarak antara pengguna dengan stesen pemancar.

"Selain itu, keupayaan infrastruktur rangkaian sedia ada juga menjadi antara faktor yang mempengaruhi kualiti liputan di kawasan berkenaan. Faktor persekitaran seperti halangan fizikal juga boleh menjejaskan penyebaran isyarat, selain berlakunya insiden vandalisme dan kecurian peralatan komunikasi yang turut boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan.

“Gangguan berkenaan seterusnya boleh menjejaskan kualiti dan kesinambungan liputan komunikasi di sesuatu kawasan,” katanya.

Jelasnya, faktor-faktor berkenaan perlu diambil kira dalam menilai keadaan liputan internet dan komunikasi di kawasan yang mempunyai perkhidmatan rangkaian, tetapi berdepan masalah dari segi kekuatan atau kestabilan isyarat.

Beliau juga menjelaskan, berdasarkan semakan SKMM Kampung Batu Enam hingga Kampung Batu Lapan, Jalan Sabak berada dalam lingkungan liputan yang disediakan oleh tiga menara berdekatan, dengan jarak setiap menara kurang daripada 1.5 kilometer dari kampung-kampung berkenaan.

Pada masa yang sama, ketiga-tiga menara tersebut turut menyediakan perkhidmatan rangkaian 4G dan 5G kepada pengguna daripada beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Pautan berjaya disalin!