162,471 alumni dan pelajar bukti kejayaan Program MGS
-
11 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
35
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos — Sebanyak 162,471 alumni dan pelajar telah mengikuti Program Membina Generasi Solat (MGS) sepanjang tempoh 2014 hingga 2026, sekali gus mencerminkan pencapaian berterusan inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan dalam membentuk generasi muda yang memahami, menghayati dan melaksanakan ibadah solat dengan sempurna.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud berkata, kerajaan negeri menilai MGS sebagai inisiatif strategik dalam membina kefahaman serta penghayatan solat dalam kalangan generasi muda secara sistematik.
Menurutnya, keberkesanan program dinilai berdasarkan beberapa indikator termasuk tahap capaian kepada kumpulan sasaran, penglibatan guru dan pelajar, pelaksanaan sesi pengajaran serta tahap penguasaan solat dalam kalangan peserta.
Bagi pelaksanaan tahun 2026, Bahagian Halaqat Negeri menetapkan sasaran pelantikan sepuluh Guru Pembimbing MGS dan penganjuran program di sepuluh lokasi bagi setiap Dewan Negeri (DUN), dengan purata 300 pelajar bagi setiap DUN.
“Secara keseluruhannya, program ini menyasarkan penglibatan seramai 450 Guru Pembimbing dan 13,500 pelajar di seluruh negeri sepanjang tempoh pelaksanaan bermula 12 Jun hingga September 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
YB Mohd Asri berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan MGS, semua mudarris diwajibkan mengikuti Kursus Training of Trainers (TOT) sebagai persediaan sebelum membimbing peserta.
Pada 2025, Kursus TOT Mudarris dilaksanakan mengikut tiga zon, masing-masing pada 18 Mei di Markaz Dewan Ulama (MADU), Machang; 25 Mei di MATTAM Bukit Tebu, Tanah Merah dan 1 Jun di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Bagi tahun ini, kursus berkenaan dilaksanakan pada 16 Mei di Dewan AB, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi Zon 1 dan pada 23 Mei di MADU, Machang bagi Zon 2.
Menurutnya, pemantauan dan penilaian dilaksanakan secara berterusan bermula pada fasa pelaksanaan sehingga program penutup bagi memastikan objektif MGS benar-benar dicapai.
Antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dinilai ialah kehadiran peserta, tahap penguasaan teori dan amali solat, kefahaman mengenai ilmu serta rukun solat, penguasaan bacaan wajib dan keupayaan melaksanakan solat dengan tertib mengikut syariat.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan MGS mencapai sasaran dari segi jumlah penyertaan dan menghasilkan impak terhadap kefahaman, penguasaan dan amalan solat dalam kehidupan peserta.








