10 usahawan catat NPL sifar, 106 terima manfaat Skim Kredit Mikro Usahawan – Dato’ Md Anizam
-
11 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
35
KOTA DARULNAIM, 11 Ogos - Sebanyak 10 usahawan perintis mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) sifar menerusi Fasa Pertama Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan pada akhir 2025, manakala 106 usahawan dipilih menerima manfaat di bawah fasa kedua yang dilaksanakan pada Ogos 2026.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan merupakan instrumen pemerkasaan usahawan yang bertujuan meluaskan akses pembiayaan dan membina daya tahan perniagaan usahawan kecil.
Menurutnya, skim berkenaan turut membantu menyelesaikan masalah aliran tunai, khususnya bagi usahawan yang sukar mendapat pinjaman perbankan konvensional akibat ketiadaan cagaran.
Beliau menjelaskan, Fasa Pertama yang dilaksanakan pada akhir 2025 melibatkan kerjasama dengan Bank Muamalat serta 10 orang usahawan perintis.
“Fasa pertama mencatatkan kadar NPL sifar dan 10 orang usahawan perintis telah membuktikan keberkesanan skim dengan rekod pembayaran yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADN Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Kedua bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Dato’ Md Anizam juga memaklumkan, pelaksanaan Fasa Kedua bermula pada Ogos 2026 dengan 106 usahawan telah dipilih untuk menerima manfaat di bawah fasa berkenaan.








